Hampir 10,000 pengguna nikmati perkhidmatan bas percuma Rapid Penang sejak 1 Mac – Zairil

GEORGE TOWN – Sejak 1 Mac lepas lagi tambang pukal RM30 yang sepatutnya ditanggung oleh kesemua 7,500 pemegang pas bulanan Mutiara My30 bagi menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang di negeri ini telahpun dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata Kerajaan Negeri berharap skim bantuan tersebut dapat meringankan lagi beban perbelanjaan pengguna-pengguna bas awam yang terlibat sepanjang pandemik COVID-19.

“Pulau Pinang sekali lagi melakukan anjakan paradigma dengan menyediakan perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma pada setiap masa, setiap hari dan setiap laluan bagi semua warga Malaysia yang melanggan Pas Mutiara My30,” ujarnya semasa Sesi Libat Urus Exco dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang dilangsungkan di The Wembley – St. Giles Hotel dekat sini pada 29 Mac 2021.

Sebelum pada itu, beliau memberitahu bahawa bilangan pelanggan Pas Mutiara My30 telah meningkat daripada sekitar 2,300 orang kepada 7,500 orang, sejak skim bantuan tersebut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menanggung kos langganan yang bernilai RM30 sebulan untuk setiap kad dengan jumlah 10,000 kad.

“Ini bermaksud bahawa skim bas percuma ini telah berjaya meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, selaras dengan hasrat Visi Penang2030.

“Secara tidak langsung, program ini juga membantu pengguna meraih penjimatan kos seharian seperti petrol, parkir dan tol,” jelasnya yang juga ADUN Tanjung Bunga.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri hari ini sentiasa komited dalam menambah baik sistem pengangkutan awam meliputi perkhidmatan bas percuma Central Area Transit (CAT) George Town sehingga ke perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST); dan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING