Hampir capai status zon hijau bukan bermakna tidak berisiko catat kes baharu COVID-19 – Kon Yeow

Admin

BERTAM – Dua kes baharu positif COVID-19 direkodkan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) semalam, selepas 11 hari tidak mencatatkan pertambahan kes (baharu) di seluruh negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa sungguhpun Pulau Pinang hampir mencapai status zon hijau, namun ia tidak bermakna perebakan wabak tersebut tidak boleh berlaku di negeri ini.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak supaya terus berdisiplin pada tahap tinggi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti senantiasa memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan serta mengamalkan jarak sosial kira-kira 1 meter (m) antara satu sama lain ketika berada di tempat awam ataupun semasa menggunakan kemudahan awam.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Sr. Rozali Mohamud (kanan) dalam sidang media di Pasar Awam Kepala Batas di sini pada pagi tadi.

“Ini adalah apa yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini iaitu supaya semua pihak tidak mengambil sikap sambil lewa, walaupun mana-mana kawasan hampir mencapai status (zon) hijau.

“Walaupun sudah mencapai status (zon) hijau pun, tidak bermakna virus (COVID-19) ini tidak boleh merebak,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) sejurus membuat tinjauan serta mengedarkan pelitup muka kepada orang awam dan peniaga di Pasar Awam Kepala Batas di sini pada 27 April 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd. Noor dan Pegawai Penyelaras Khas Parlimen (Kepala Batas), Lay Hock Peng.

Selain itu, Kon Yeow berharap bahawa keputusan pentadbiran Perdana Menteri yang membenarkan pergerakan pihak tertentu merentasi sempadan negeri ke kawasan-kawasan diisytiharkan sebagai zon hijau, adalah betul.

“Kita (JKKN Pulau Pinang) percaya bahawa Kerajaan Persekutuan dengan nasihat KKM akan membuat keputusan yang betul (seperti) memberi kelonggaran untuk mahasiswa balik ke kampung masing-masing, juga kepada individu yang terperangkap dan ingin balik ke bandar raya atau pekan, diadakan prosedur (untuk mendapatkan kebenaran berwajib).

“Jadi, kita berharap apa yang dilonggarkan (ketika PKP) ini tidak sama sekali menjejaskan usaha memutuskan semua rantaian perebakan COVID-19,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Selepas itu, Kon Yeow serta para pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang meneruskan acara pemantauan PKP dan mengedarkan pelitup muka di Pasar Awam Penaga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS