Hanya 10 peratus tanah pajakan, Kerajaan Negeri tawar diskaun premium hingga 90 peratus – Ketua Menteri

Admin
6517e0f3 200a 4c79 a40f cbace3573ac4

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa pegangan tanah berstatus hakmilik pajakan (leasehold) di Pulau Pinang masih berada pada tahap yang rendah, iaitu merangkumi kurang daripada 10 peratus berbanding keseluruhan hakmilik kekal (freehold).

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam ucapan penggulungan memaklumkan bahawa berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG), terdapat kira-kira 34,000 hakmilik pajakan di seluruh negeri, dengan hanya 805 hakmilik yang mempunyai tempoh matang kurang daripada 10 tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa satu dasar pelanjutan tempoh pajakan yang komprehensif dan berkebajikan telah dirangka bagi membantu pemilik tanah, sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah.

Beliau memberitahu bahawa pentadbirannya senantiasa berusaha meringankan beban rakyat dengan menawarkan kadar diskaun premium yang signifikan mengikut kategori penggunaan tanah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa diskaun premium sehingga 90 peratus bagi tanah untuk kegunaaan kediaman dan pertanian; perniagaan (diskaun 80 peratus); perindustrian (30 hingga 75 peratus) yang mana masing-masing tertakluk kepada syarat dan kelayakan.

“Bagi tanah yang telah tamat tempoh pajakannya, permohonan masih boleh dipertimbangkan melalui kaedah pemberimilikan semula dengan tawaran diskaun premium sehingga 80 peratus,” jelasnya dalam ucapan tersebut.

Buletin Mutiara dimaklumkan, data menunjukkan bahawa sejak tahun 2024 sebanyak 232 permohonan pelanjutan tempoh pajakan telah diterima dan sedang diproses.

“Angka ini mencerminkan keyakinan pemilik tanah terhadap jaminan pegangan yang diberikan oleh pentadbiran negeri,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pertukaran status kepada hakmilik kekal, Kon Yeow menjelaskan bahawa dasar pemberimilikan secara pegangan selama-lamanya pada masa ini dilaksanakan secara terhad.

“Permohonan bagi status hakmilik kekal tertakluk kepada pertimbangan khusus di bawah Pekeliling PTG Bilangan 3/2025.

“Ia hanya akan dipertimbangkan dalam keadaan tertentu yang mempunyai justifikasi serta merit yang kukuh sahaja,” tambahnya.

Beliau memberitahu Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz bahawa langkah-langkah berkaitan diambil bagi memastikan pengurusan tanah di Pulau Pinang kekal mampan di samping menjaga kebajikan pemilik tanah sedia ada melalui dasar pelanjutan yang adil.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN