GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited memastikan Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ) dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira aspek keselamatan awam, alam sekitar serta pematuhan kepada syarat teknikal yang ditetapkan pihak berkuasa.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek berkenaan telah dianugerahkan kepada PLB Engineering Berhad pada tahun 2017 sebelum Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan syarikat terbabit menandatangani Joint Development Agreement (JDA) pada 21 Februari 2020.
“PDC telah dilantik sebagai pengurus projek bagi menyelia pelaksanaan pembangunan ini, dan sehingga kini telah menerima Fi Pengurusan Projek berjumlah RM5 juta daripada pihak pemaju.
“Kerajaan Negeri berpandangan projek ini penting bagi menangani isu keselamatan dan pencemaran sedia ada di TPSJ termasuk risiko kebakaran, pelepasan gas, leachate serta ketidakstabilan struktur tapak pelupusan,” ujarnya ketika sesi penggulungan perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pertimbangan pelanjutan tempoh masa (EOT) dibuat dengan mengambil kira faktor di luar kawalan pihak pemaju bagi membolehkan keperluan teknikal serta syarat tambahan berkaitan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dipenuhi.
“Kerajaan Negeri juga memandang serius hakikat bahawa kelulusan EIA masih belum diperoleh.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan meneliti laporan daripada PDC sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai hala tuju projek ini dibuat,” ulasnya lanjut.
Berhubung hutang Kerajaan Negeri kepada PDC, Kon Yeow memaklumkan bahawa perkara tersebut telah dijelaskan di dalam Sidang Dewan pada Mei tahun 2025.
“Secara ringkasnya, ia adalah mengenai perkongsian hasil antara Kerajaan Negeri dan PDC bagi projek pembangunan Bayan Mutiara.
“Jumlah hasil projek bernilai RM1.07 bilion telah disalurkan ke dalam akaun hasil Kerajaan Negeri dalam tempoh tahun 2012 hingga 2018.
“Sebahagian daripada hasil projek tersebut telah disalurkan kembali kepada PDC untuk pelaksanaan projek perumahan Skim Perumahan Mampu Milik atau Affordable Housing Scheme (AHS).
“Pihak PDC menerusi kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 April 2025 telah membentangkan cadangan penyaluran hasil berjumlah RM494.4 juta,” ulasnya lanjut.
Menyentuh mengenai Request for Proposal (RFP) Ladang Byram, Kon Yeow memberitahu bahawa keputusan PDC untuk tidak meneruskan tawaran RFP bukan dibuat berdasarkan nilai tawaran semata-mata, tanpa mengambil kira aspek tadbir urus, risiko perundangan, kepentingan jangka panjang serta perlindungan terhadap aset strategik negeri.
Sebaliknya, kata beliau, PDC telah mengambil kira keseluruhan syarat, implikasi kewangan serta pematuhan kepada syarat utama RFP yang telah ditetapkan.
“Seperti mana yang telah dimaklumkan di dalam persidangan DUN yang lepas, tawaran tender terbuka RFP 2024 oleh IJM-Aspen tidak diteruskan kerana syarikat tersebut gagal mematuhi lima daripada sembilan syarat utama yang telah ditetapkan, dan tidak boleh dipertimbang serta mengenakan pelbagai syarat tambahan yang akan membebankan kos ke atas PDC.
“Oleh itu, berdasarkan ketidakpatuhan terma RFP 2024 oleh pihak IJM-Aspen, pihak PDC telah membuka tender terbuka untuk RFP 2025.
“Namun, RFP 2025 juga tidak diteruskan kerana terdapat beberapa perubahan daripada syarat utama tender yang tidak dipatuhi dan tuntutan tambahan lain oleh pihak petender,” jelasnya merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN