GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini tampil menyanggah tuduhan serta naratif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berhubung isu penjualan ratusan unit hartanah kepada warga asing dari China yang didakwa berlaku pada tahun lalu.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat pembangkang berkenaan semalam (13 Mei 2026) adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar di lapangan.
Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Sundarajoo yang juga ADUN Perai berkata, pengiraan purata harga jualan sebanyak RM411,506.00 bagi 365 unit dengan nilai keseluruhan RM150.2 juta adalah satu interpretasi yang mengelirukan.
“Pengiraan purata tersebut sama sekali tidak menggambarkan realiti transaksi hartanah di negeri ini.
“Kita perlu melihat kepada rekod rasmi untuk memahami pecahan sebenar jualan tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Lebuh Light menjelang tengah hari tadi.
ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran turut sertai sidang media ringkas tersebut.
Mengulas lanjut, Sundarajoo memberitahu bahawa berdasarkan rekod rasmi daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pulau Pinang, perincian transaksi bagi tahun 2025 merekodkan hanya 15 daripada 365 unit dijual dalam koridor harga RM400,000 hingga RM1.5 juta di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut garis panduan sedia ada.


Tegasnya lagi, 365 unit hartanah tersebut adalah dalam pelbagai jenis dan bukan hanya unit kediaman di bawah HOC sahaja.
Sehubungan itu, Sundarajoo mempersoal motif di sebalik dakwaan tanpa asas Izhar Shah yang mana seakan cuba menimbulkan persepsi negatif konon-konon semua 365 unit tersebut telah berpindah milik kepada warga asing pada harga rendah.
“Pihak Kerajaan Negeri sentiasa memantau pemilikan hartanah oleh warga asing bagi memastikan kepentingan rakyat tempatan, khususnya dalam segmen rumah mampu milik, sentiasa terpelihara.
“Dakwaan bahawa terdapat lambakan jualan kepada warga China pada harga purata RM411,506 adalah tidak berasas berdasarkan data PTG,” jelasnya.
Buletin Mutiara difahamkan, Kerajaan Negeri melaksanakan HOC dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi merangsangkan sektor hartanah susulan kesan penularan wabak COVID-19.
Dasar itu mula dilaksanakan pada 9 Jun 2020 hingga 9 Jun 2021, sebelum dilanjutkan untuk kali kedua (HOC 2.0) bermula 10 Jun 2021 hingga 30 Jun 2022); dan HOC 3.0 (sehingga 31 Disember 2022).
Memetik sumber Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) selepas COVID-19, menurut beliau, sebanyak 29,534 unit hartanah telah dikategorikan sebagai tidak terjual (overhang) di seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang (5,222 unit hartanah).
Sundarajoo memberitahu bahawa pelaksanaan tiga siri HOC itu didapati telah merancak lagi sektor hartanah negeri.
“Kerajaan Negeri melalui Maulis Mesyuarat Kerajaan Bil.33/2023 bertarikh 20 Disember 2023 telah mempertimbang dan meluluskan pelaburan ‘HOC 3.0 Plus’ dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Peringkat Negeri Pulau Pinang mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2024,” ujarnya.
Semalam, di luar Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas, dilaporkan, Izhar Arif seakan memberi gambaran konon-konon 365 unit hartanah di bawah HOC telahpun dijual kepada warga asing dari China.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING