Hanya KKM berhak umum kes baru COVID-19 – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menasihati pihak-pihak berkaitan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes terbaru COVID-19 sebelum pengumuman sahih dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, tindakan tersebut dikhuatiri bakal menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat khususnya di Pulau Pinang.

Tambah beliau, hanya KKM sahaja merupakan pihak berautoriti untuk mengeluarkan sebarang kenyataan melibatkan kes terbaru COVID-19.

“Pendirian Kerajaan Negeri adalah kita tunggu pengumuman KKM untuk maklumat lebih tepat.

“Sekiranya terdapat kes baru, pihak Kementerian akan pastikan pengesanan kontak dan proses isolasi serta rawatan dijalankan dengan kadar segera agar rantaian penularan dapat dihentikan.

“Ini adalah langkah terbaik yang perlu dilakukan sekiranya terdapat kes baru (COVID-19) dikesan di mana-mana sahaja dan tidak perlu melibatkan lebih ramai orang awam dalam proses ini.

“Dengan cara ini situasi panik dapat dielakkan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung kes baru kedua COVID-19 yang didakwa dikesan dekat sebuah pusat perubatan di negeri ini.

Justeru, Kon Yeow menegaskan bahawa orang ramai perlu yakin bahawa langkah-langkah diambil oleh pihak Kementerian adalah mengikut protokol-protokol ditetapkan.

Difahamkan, hari ini tular di media sosial berhubung satu lagi kes COVID-19 dikesan dekat sebuah pusat perubatan di negeri ini selepas pengumuman satu kes baru oleh KKM semalam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMMAD