Harap Harimau Kumbang harungi saingan Liga Super

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi Soon Lip Chee (kiri sekali) dan Jeffrey Chew (kanan sekali) menyampaikan cek replika kepada salah seorang pemain yang dilihat membantu Skuad Harimau Kumbang memperbaiki kedudukan ketiga Liga Super 2021, dalam majlis berkaitan di sini pada malam ini.

GEORGE TOWN – “Saya tidak mahu memberi tekanan yang mana Penang FC bakal bertemu dengan pasukan PJ City pada malam esok (18 Jun 2022) di Stadium Bandaraya.”

Sambil berkata demikian, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow memberitahu bahawa pihaknya berharap Skuad Harimau Kumbang di bawah bimbingan Zainul Abidin Hassan sebagai Ketua Jurulatih baharu dapat mengharungi saingan Liga Super Malaysia yang berbaki 14 perlawanan.

KETUA Menteri turut meluangkan masa mendapatkan maklum balas daripada Zainul Abidin Hassan (kanan) berhubung persiapan Skuad Harimau Kumbang bersempena musim saingan Liga Super kali ini.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee selaku Pengerusi Lembaga Penang FC dan Jeffrey Chew (Pengurus Besar Penang FC) serta semua pihak yang terlibat dalam memperbaiki kedudukan skuad negeri dalam liga.

Sebelum itu, Lip Chee menyatakan bahawa pihaknya berharap Skuad Harimau Kumbang yang kini berada pada tangga 12 kini dapat memperbaiki kedudukan, dan sekurang-kurangnya berada pada tangga ketiga seperti musim saingan Liga Super Malaysia 2021.

Beberapa Ahli Lembaga Pengarah Penang FC seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Dato’ Norazmi Mohd. Narawi (Penasihat Undang-Undang Negeri); Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri, S. Bharathi serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad merupakan antara barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir bagi meraikan para pemain bola sepak negeri bagi Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Super Malaysia pada majlis makan malam di sini sebentar tadi.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow dengan diiringi Lip Chee dan Jeffrey Chew turut menyampaikan cek replika sumbangan kepada beberapa pemain skuad negeri, bekas pemain serta para pegawai terpilih sebagai tanda penghargaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI