Harap lebih banyak projek PPR dibina di Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berharap lebih banyak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dibina di Pulau Pinang bagi menampung keperluan masa kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kini hanya terdapat 999 unit PPR membabitkan empat lokasi di seluruh negeri Pulau Pinang, dan jumlah tersebut hanya picisan iaitu 0.87 peratus daripada keseluruhan 114,652 unit program berkenaan bagi seluruh negara.

“Rumah sewa merupakan alternatif terbaik kepada golongan berpendapatan rendah sebelum mereka mampu untuk memiliki kediaman sendiri.

“Kerajaan Negeri pada tahun 2019 telah mengemukakan cadangan tapak dengan keluasan 72.3 ekar untuk penyediaan PPR di negeri ini.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) mohon agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan tapak yang telah dikemukakan Kerajaan Negeri bagi tujuan serta maksud tersebut, memandangkan sebanyak RM500 juta telah diperuntukan untuk pembinaan 14,000 unit PPR dalam Belanjawan 2021,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; ‘Ainul Fadhilah Samsudi (Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, LPNPP) dan Datuk Toh Chin Leong (mantan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan, REHDA).

Dalam isu berasingan, Kon Yeow turut berharap supaya Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan bantuan serta mempertimbangkan permohonan peruntukan bagi tahun 2021 di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

“Sejumlah RM1.2 bilion telah diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan perumahan selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM125 juta telah diperuntukan bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah serta sederhana rendah.

“Justeru, (Kerajaan) Persekutuan diharap menyalurkan bantuan ini agar Pulau Pinang dapat mempertimbangkan permohonan terhadap penyaluran peruntukan bagi tahun 2021 di bawah PPP bagi penyelenggaraan Perumahan Awam Kos Rendah sebanyak RM21,110,000 dan penyelenggaraan perumahan swasta yang layak di bawah TPPM berjumlah RM65,830,100,” ulasnya.

Sebelum itu, pada sidang media sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa LPNPP yang telah beroperasi secara rasminya pada 1 Januari 2021 akan meneruskan semua bidang kuasa Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Ini termasuk penawaran rumah mampu milik (RMM), rumah sewa-beli, Ruah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN)/PPR dan juga pengurusan serta penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak,” jelasnya.

Difahamkan sehingga kini, 113,690 unit RMM telah dikenal pasti dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Sementara itu, Jagdeep memberitahu bahawa hala tuju LPNPP adalah demi membantu rakyat untuk akses kepada RMM.

“Banyak isu perumahan yang perlu diintegrasikan dan di negeri Pulau Pinang… kita akan meneruskan keutamaan untuk membekalkan perumahan mampu milik hingga mencapai sasaran 220,000 menjelang tahun 2030,” katanya sambil menegaskan bahawa isu perumahan terutamanya PPR adalah tidak seharusnya dipolitikkan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: ALISSALA THIAN