Harap penganjuran PIHEC, WIEF rancakkan kembali sektor utama negeri – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWNPenang Halal International (PHI) bakal menganjurkan Penang International Halal Expo and Conference (PIHEC) pada 1 hingga 3 Julai 2022 di Setia SPICE Convention Centre dengan melibatkan pempamer dalam kalangan penggiat sektor halal dan perkhidmatan dari dalam dan luar negara.

 

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Fazil Irwan Mohd. Som pada pertemuan dengan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 25 April 2022.

 

FAZIL Irwan Mohd. Som.

Menurut Fazil Irwan, meskipun kebanyakan sektor terjejas akibat pandemik, beliau yakin sektor halal di Pulau Pinang akan bangkit dan menjadi lebih kukuh hasil daripada ekosistem perniagaan, infrastruktur terkini serta rekod cemerlang selama lebih 50 tahun dalam industri.

 

PHI memfokuskan pada visi ‘Harnessing Halal Synergies’ dengan mengadaptasikan perkembangan digital dan inovasi baharu untuk memacu kitaran pertumbuhan industri halal dalam pelbagai sektor.

 

“(Dan) penganjuran PIHEC 2022 ini penting kerana melibatkan pembinaan kapasiti untuk perniagaan baharu serta mapan dalam industri halal di negeri ini dengan menyediakan mereka untuk pasaran eksport yang direka khas bagi membolehkan perkongsian perniagaan dengan pemain industri halal global,” ujarnya.

 

Bertemakan ‘Building Resilience and Sustainability Towards Stronger Growth’, PIHEC 2022, yang merupakan program utama (flagship program) PHI sejak tahun 2010, bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

 

Terdahulu, Fazil Irwan hadir ke Pejabat Ketua Menteri bersama-sama Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain. Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PHI yang baru berkuat kuasa pada 1 Mac 2022.

 

Pada pertemuan itu juga, Fazil Irwan turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah bagi Sesi Meja Bulat ‘World Islamic Economic Forum’ (WIEF) pada bulan September nanti.

 

Sementara itu, Kon Yeow berharap dengan pengajuran dua acara bertaraf dunia tersebut akan merancakkan kembali pelbagai sektor termasuk yang utama seperti pelancongan dan ekonomi di negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING