Harap pengiktirafan dorong semangat perkukuh daya kerja cemerlang warga PBAPP – Ketua Menteri

Admin
img 20261016 wa0043

SEBERANG JAYA – Pengiktirafan terhadap kesetiaan dan dedikasi warga kerja Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya kerja cemerlang, sekali gus memastikan perkhidmatan bekalan air negeri terus berada pada tahap terbaik.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, warga kerja yang berkualiti merupakan aset utama sesebuah organisasi, khususnya dalam memastikan kelangsungan operasi serta penyampaian perkhidmatan yang cekap dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Menurut beliau, kesetiaan dan komitmen warga PBAPP yang berkhidmat selama 20 hingga 30 tahun bukan sahaja mencerminkan dedikasi terhadap organisasi, malah menjadi asas pembentukan budaya kerja berpasukan dan berintegriti.

“Anugerah Khidmat Setia ini bukan sekadar pengiktirafan tempoh perkhidmatan tetapi juga lambang penghargaan PBAPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap pengorbanan, kesabaran serta kecekalan anda semua.

“Semoga pengiktirafan malam ini menjadi dorongan untuk kita terus memperkukuh budaya kerja cemerlang dan memastikan PBAPP kekal sebagai organisasi yang diyakini rakyat.

“Tahniah kepada semua penerima Anugerah Khidmat Setia 2026, dan adalah diharapkan kesetiaan serta dedikasi anda terus menjadi kekuatan PBAPP dalam memastikan setiap titisan air membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Khidmat Setia PBAPP 2026 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan merangkap Ahli Lembaga Pengarah PBAPP, Dato’ Rashidi Zinol; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan; ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAPP dan PBA Holdings Berhad (PBAHB); ketua-ketua divisyen dan jabatan PBAPP serta para penerima anugerah.

img 20261016 wa0045img 20261016 wa0038

Pada majlis tersebut, seramai 116 warga kerja PBAPP menerima Anugerah Khidmat Setia sebagai penghargaan atas kesetiaan dan sumbangan mereka kepada organisasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 30 individu menerima anugerah bagi tempoh perkhidmatan 30 tahun; tempoh 25 tahun (3) dan tempoh 20 tahun (56).

Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAHB dan PBAPP menyatakan bahawa kesetiaan berkhidmat selama puluhan tahun dalam satu organisasi bukanlah sesuatu yang mudah dicapai, apatah lagi dalam persekitaran pekerjaan yang sentiasa berubah.

Jelas beliau, warga kerja yang diraikan turut menyaksikan pelbagai fasa perubahan dalam PBAPP serta pembangunan Pulau Pinang, sekali gus menjadikan pengalaman dan sumbangan mereka amat bermakna kepada organisasi dan negeri.

“Sebagai operator air negeri, PBAPP sering dijadikan contoh oleh operator air lain dan kedudukan ini tidak mungkin dicapai tanpa komitmen dan usaha seluruh warga kerjanya.

“Oleh itu, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sebagai Pengerusi PBAHB, saya ingin menegaskan bahawa sumbangan anda semua amat dihargai,” ujarnya.

img 20261016 wa0048img 20261016 wa0037img 20261016 wa0040

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama PBAPP adalah memastikan bekalan air yang mencukupi, berkualiti dan berterusan kepada rakyat serta sektor perniagaan di negeri ini selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Tambah beliau, gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada 8 Oktober lalu serta kejadian paip pecah di Sungai Lokan membuktikan kepentingan kecekapan dan kesiapsiagaan warga kerja dalam memulihkan bekalan air dengan segera.

Sehubungan itu, Kon Yeow memberitahu bahawa PBAPP perlu terus memperkukuh Water Contingency Plan 2030 (WCP 2030) bagi meningkatkan daya tahan sistem bekalan air negeri dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.

“Memastikan bekalan air berterusan kepada rakyat Pulau Pinang bukan sekadar tugas tetapi amanah utama setiap warga PBAPP.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi dan kesetiaan anda dalam memastikan perkhidmatan ini terus terpelihara,” jelasnya.

Tambah beliau, kecemerlangan PBAPP turut dibuktikan menerusi pelbagai pengiktirafan yang diterima, antaranya Malaysia Water Award for Management 2025, anugerah emas bagi projek Zero Waste Water Treatment Residue (WTR) Recycling serta pengiktirafan Best Dam Maintenance bagi Empangan Teluk Bahang pada Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME) 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, PBAHB turut menerima beberapa pengiktirafan, termasuk The Edge Centurion Club Awards 2026, penarafan emas dalam Sustainable Finance Rating menerusi RAM Blueprint Awards 2025, pengiktirafan tiga bintang dalam senarai sulung Environmental, Social and Governance (ESG) Select List oleh United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei serta penyenaraian dalam Bursa Malaysia Quality 50 Index.

img 20261016 wa0036img 20261016 wa0047

Kon Yeow menyatakan bahawa pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan organisasi berkenaan terhadap kecemerlangan pengurusan dan kemampanan, namun keutamaan utama PBAPP tetap tertumpu kepada penyampaian perkhidmatan bekalan air yang boleh dipercayai.

Beliau turut menegaskan bahawa sasaran memastikan bekalan air mencukupi, berkualiti dan berterusan yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) PBAPP sejak 27 tahun lalu perlu terus dipertahankan sebagai keutamaan organisasi pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan warga kerja yang bertanggungjawab terhadap projek-projek berkaitan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani kelewatan pelaksanaan, sekali gus memastikan projek dapat disiapkan demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Pathmanathan memberitahu bahawa daripada keseluruhan 116 penerima Anugerah Khidmat Setia 2026, seramai 57 individu merupakan kakitangan Jabatan Operasi PBAPP, manakala 30 lagi daripada Jabatan Pengeluaran dan selebihnya daripada jabatan lain.

Menurutnya, seramai 30 penerima yang meraikan tempoh perkhidmatan 30 tahun pada tahun ini turut menyaksikan perubahan kepimpinan apabila berpeluang berkhidmat di bawah enam ketua pengurusan atasan sepanjang tempoh tersebut.

“Pengalaman berkenaan mencerminkan kesetiaan dan komitmen warga kerja dalam mendepani pelbagai perubahan serta memastikan kelangsungan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan PBAPP,’’ kata Pathmanathan.

img 20261016 wa0050img 20261016 wa0046img 20261016 wa0032img 20261016 wa0030

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT