Harap permohonan tiga PPV lapangan ‘economic frontliners’ diluluskan secepat mungkin

Admin

SUNGAI BAKAP – Pulau Pinang berharap agar permohonan bagi kelulusan pengoperasian tiga lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lapangan di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di negeri ini dapat diluluskan secepat mungkin.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif tersebut penting untuk membolehkan kira-kira 300,000 ‘economic frontliners’ di negeri ini menerima suntikan vaksin dalam tempoh yang ditetapkan.

Chow Kon Yeow ketika bercakap pada sidang media selepas meninjau operasi PPV Bukit Jawi Golf & Resort pagi tadi.

“Seperti kita sedia maklum, dua buah PPV di bawah PIKAS mula beroperasi iaitu di Bukit Jawi Golf & Resort mulai semalam (16 Jun) dan Hotel Equatorial pada 28 Jun ini.

“(Dan) atas inisiatif beberapa kilang, tiga lagi PPV lapangan sedia beroperasi untuk menambah kapasiti PIKAS di Pulau Pinang.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan surat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) supaya kelulusan boleh diberikan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan untuk meninjau perancangan serta pelaksanaan program vaksinasi untuk sektor ekonomi dekat Bukit Jawi Golf & Resort di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Meneliti proses pendaftaran bagi menerimaan suntikan vaksin.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Naib Presiden dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu.

Tambah Kon Yeow, sektor industri di Pulau Pinang mempunyai jumlah pekerja yang besar dan memerlukan kapasiti PPV mencukupi untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

“Mudah-mudahan dengan lawatan Menteri (MITI) hari ini membolehkan PPV lapangan yang sedang menunggu kelulusan dapat memulakan operasi dalam tempoh terdekat,” ulasnya.

Dalam sidang media sama sebelum itu, Mohamed Azmin memberitahu bahawa pihaknya akan mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri berhubung pengoperasian tiga PPV lapangan tambahan berkaitan.

Salah seorang pekerja sektor industri sedang menerima suntikan vaksin.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa program PIKAS yang dilancarkan pada 16 Jun lalu adalah melibatkan empat negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Sarawak.

“Empat negeri ini dipilih kerana terdapat banyak aktiviti ekonomi dijalankan, dan keempat-empat negeri ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Oleh itu, kita telah menyiapkan enam PPV umum di keempat-empat negeri ini sebagai projek perintis termasuk Hotel Equatorial dekat Bukit Jambul dan beberapa PPV umum yang lain bagi membolehkan syarikat-syarikat kecil diberikan kemudahan yang sama.

Pekerja sektor industri memulakan proses vaksinasi.

“Serentak itu, kita juga akan laksanakan inisiatif PIKAS ini di negeri-negeri lain dalam masa terdekat kerana telah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk melindungi ‘economic frontliners’ daripada segi kesihatan serta keselamatan mereka,” jelasnya.

Azmin dalam itu turut berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberikan sokongan dan kerjasama penuh dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Kita harap kerjasama ini akan berterusan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang telah dijadualkan,” ujarnya.

Difahamkan, PPV Bukit Jawi Golf & Resort telah menjalankan vaksinasi kepada seramai 960 pekerja industri sejak beroperasi semalam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS