Harap pertimbang peruntukan lebih besar untuk Pulau Pinang – Exco   

 

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kelulusan peruntukan pembangunan yang lebih besar untuk Pulau Pinang pada tahun ini.

 

 

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM50 juta telah diluluskan bagi tahun 2022.

 

 

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan yang mana membawa kepada jumlah kos sebanyak RM967 juta,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan ke Pasar Chowrasta dekat sini pada 8 Januari 2022.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. A. Rajendran dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep menegaskan bahawa sebagai negeri kedua membayar cukai tertinggi di Malaysia, Pulau Pinang seharusnya layak menuntut amaun tersebut dari Kerajaan Persekutuan.

 

 

“Duit cukai adalah duit yang dibayar oleh rakyat, jadi kita sebagai kerajaan perlu kembalikan semula kepada rakyat melalui projek-projek dan kemudahan.

 

 

 

“RMKe-12 sudah bermula dan setiap tahun memang akan ada permintaan Kerajaan negeri dari Kerajaan Persekutuan untuk PBT kita laksanakan projek-projek untuk kepentingan rakyat,” katanya yang juga ADUN Datuk Keramat.

 

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep memberitahu bahawa pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga bakal melaksanakan pelbagai projek merangkumi pembangunan infrastruktur, penaiktarafan, penggantian, landskap serta inisiatif baru bagi tahun ini.

 

 

“MBPP bakal membelanjakan sebanyak RM38.89 juta manakala MBSP pula sebanyak RM15.86 juta menjadikan jumlah besar yang bakal dibelanjakan tahun 2022 adalah sebanyak RM54.75 juta demi kemudahan penduduk,” jelasnya.

  

Dalam perkembangan lain, Jagdeep mengalu-alukan pelantikan semula dan pelantikan baharu Ahli Majlis bagi MBPP dan MBSP.

 

 

“Kerajaan Negeri yakin Ahli Majlis akan memberi fokus dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kesinambungan perancangan strategik Visi Penang2030 serta visi kedua-dua pihak berkuasa tempatan dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk di Pulau Pinang.

 

 

“Selain itu, fokus turut terarah terhadap melawan COVID-19 dan pemanasan global.

 

 

 

“Justeru Ahli Majlis turut berperanan besar ikuti agenda kita (Kerajaan Negeri) dalam memastikan pemanasan global ini dapat dikurangkan kesannya serta menjadi negeri contoh di Malaysia,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP