Harap semua PPV dapat maksimumkan kapasiti suntikan vaksin – Ketua Menteri

Admin

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri berharap agar semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini dapat memaksimumkan kapasiti suntikan dos harian bagi membolehkan Pulau Pinang mencapai imuniti kelompok pada akhir Oktober ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pendekatan tersebut adalah Pulau Pinang dijangka akan menerima sejumlah 703,448 dos bekalan vaksin pada bulan ini (Julai 2021).

Chow Kon Yeow menyantuni petugas kesihatan ketika mengadakan lawatan ke PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

“Sekiranya semua PPV dapat meningkatkan kapasiti sehingga 100 peratus, maka saya merasakan kita boleh mencapai sasaran 23,000 dos suntikan vaksin sehari.

“Selain itu, ia juga penting untuk mencapai matlamat 40 peratus jumlah populasi dewasa di negeri ini mendapat dos kedua yang merupakan salah satu kriteria untuk beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekiranya kita tidak beralih ke Fasa 3 dengan lebih cepat, maka banyak sektor tidak dapat dibuka yang mana ia akan membawa impak daripada segi pendapatan serta peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap dekat sini sebentar tadi.

Proses vaksinasi untuk orang kurang upaya (OKU) dipermudahkan di PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik serta Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa tiga lagi PPV baru mula beroperasi hari ini iaitu di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, Pusat Konvensyen Perda Tasek Gelugor dan Intel Technology Sdn. Bhd..

Salah seorang penerima sedang divaksinasi.

“Dalam masa terdekat juga, dua lagi PPV industri akan dibuka iaitu Plexus Manufacturing Sdn. Bhd. dan Jabil Circuit Sdn. Bhd.,” jelasnya.

Difahamkan, kapasiti bagi pemberian vaksin di PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap adalah sebanyak 1,200 dos sehari dengan jumlah tenaga kerja seramai 120 orang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS