P. Pinang No. 2 terbaik di dunia, berita baik mulakan tahun baru untuk pelancongan – KM

GEORGE TOWN – Pulau Pinang tersenarai di tangga kedua dalam CNN.com sebagai antara 17 Lokasi Terbaik Untuk Dilawati bagi Tahun 2017.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkannya berkata, penyenaraian di tangga kedua daripada 17 buah destinasi terpilih merupakan berita baik buat negeri Pulau Pinang untuk memulakan tahun baru 2017.

“Kerajaan Negeri telah mempelbagaikan usaha dan komitmen untuk membangunkan sektor pelancongan supaya kita (Pulau Pinang) dapat menambah sumber ekonomi baru bukan sahaja kepada negeri, malah rakyat Pulau Pinang.

“(Dan) usaha ini terbukti apabila CNN.com menyenaraikan Pulau Pinang di tangga kedua dari 17 lokasi terbaik (di dunia) yang perlu dilawati bagi tahun 2017,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, selain dikenali sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Pulau Pinang turut terkenal dengan pelbagai tarikan dan tempat-tempat menarik untuk dilawati antaranya, pusat peranginan Bukit Bendera dan Kompleks Tun Abdul Razak atau Komtar.

“Ini (penyenaraian) merupakan berita baik untuk mulakan tahun baru 2017 terutamanya dalam industri pelancongan negeri.

“Begitu juga sektor-sektor lain seperti pelancongan perubatan dan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) yang merupakan sektor penting dan utama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sama-sama membantu mempromosikan pelancongan bukan sahaja di Malaysia malah, Pulau Pinang.

Dalam artikel 6 Januari lalu melalui CNN.com (http://edition.cnn.com/2017/01/06/travel/bestplaces-to-visit-in-2017/) bertajuk, ’17 best places to visit in 2017′ menyenaraikan Pulau Pinang di tempat kedua selepas Prince Edward Island, Kanada sebagai tempat yang perlu dilawati tahun ini.

Antara ciri-ciri menarik yang dipetik melalui artikel tersebut adalah keunikan ‘street food‘ di Pulau Pinang selain tempat-tempat bersejarah yang menggabungkan seni binaan klasik sejak zaman kolonial Inggeris