Harga barangan keperluan pengguna turun 50% selepas GST sifar – Exco

GEORGE TOWN – Harga barangan keperluan pengguna di negeri ini telah mengalami penurunan sebanyak 50 peratus selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan sejak 1 Jun lalu.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di sini 9 Ogos 2018.

“Hasil ini adalah berdasarkan tinjauan 65 Pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di 431 premis pasar basah, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negeri ini terhadap 417 barangan keperluan pengguna terpilih.

“Daripada jumlah itu, 261 barangan adalah yang berkadar sifar GST, manakala 156 lagi adalah barangan berkadar enam peratus GST.

“Harga barangan ini telah dipantau secara harian, mingguan dan bulanan sepanjang tempoh pelaksanaan GST dan selepas GST sifar pada 1 Jun lalu,” jelasnya sebagai menjawab isu dibangkitkan ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq mengenai aduan rakyat bahawa harga barangan masih tinggi walaupun GST telah dimansuhkan.

Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung menyatakan bahawa pemantauan harga barangan tetap akan diteruskan apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan pada September ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS