NIBONG TEBAL – Harga kebanyakan makanan asas di pasar awam di Pulau Pinang ketika ini masih berada dalam keadaan stabil dengan beberapa komoditi turut mencatatkan penurunan harga, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna menjelang pertengahan tahun ini.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri menjangkakan produk makanan diproses dan berbungkus seperti kicap, biskut serta makanan dalam tin berpotensi mengalami kenaikan harga susulan peningkatan kos bahan mentah dan tekanan rantaian bekalan global.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata demikian selepas meninjau harga barangan serta beramah mesra dengan peniaga sempena program edaran bunga Hari Ibu di Pasar Awam Kampung Valdor di sini pagi tadi.

Menurutnya, bagi kategori buah-buahan dan sayur-sayuran segar, kenaikan harga hanya melibatkan buah import seperti oren dan epal, manakala harga bawang besar serta bawang putih pula menunjukkan penurunan.
Bagi komoditi telur ayam, harga runcit telur gred B di pasar adalah sekitar RM11 setalam, manakala menerusi program Jualan Rahmah semalam, ia dijual pada harga serendah RM9,” katanya.
Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun memberitahu bahawa harga makanan segar seperti ikan, udang dan sayur-sayuran bergantung sepenuhnya kepada kestabilan bekalan semasa.
“Selagi bekalan daripada sektor penternakan, perikanan dan pertanian mencukupi, harga pasaran akan terus kekal stabil tanpa kenaikan mendadak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan harga produk makanan yang melibatkan proses pembungkusan plastik berikutan kenaikan kos bahan mentah serta ketidaktentuan bekalan global.
Katanya, kos pembungkusan plastik amat dipengaruhi turun naik harga minyak mentah dunia, sekali gus memberi tekanan kepada industri makanan diproses.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu kekurangan baja yang boleh menjejaskan sektor pertanian dan pengeluaran makanan negara.
Menurutnya, sekiranya petani mengurangkan aktiviti penanaman akibat peningkatan kos serta kekurangan bekalan baja, keadaan tersebut boleh menjejaskan bekalan pasaran dan mendorong kenaikan harga makanan.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan MMK Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Negeri bagi memantau perkembangan bekalan makanan serta harga pasaran dari semasa ke semasa.
Gambar: EXCO