Hargai keamanan sempena Maal Hijrah 1435H – TYT

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas menyeru seluruh umat Islam supaya menghargai keamanan hidup di Pulau Pinang sempena sambutan Maal Hijrah 1435H Peringkat Negeri.

Menurut beliau, umat Islam di negeri ini bertuah kerana boleh kekal hidup dalam suasana keamanan serta tidak seperti beberapa negara umat Islam lain dekat Timur Tengah.

“Kita perlu menginsafi dengan nasib yang menimpa saudara kita di Palestin, Mesir dan Syria yang kini hidup dalam keadaan tidak ketentuan,” ucapnya pada sambutan Maal Hijrah 1435H Peringkat Negeri di Politeknik Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Nada sama turut diucapkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) yang meluahkan nada serupa semasa mengupas mengenai tema sambutan, iaitu Hijrah Mengukuh Ukhwah, Martabat Ummah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis keraian tersebut.

Bekas duta besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Syed Mohamad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang atas sumbangannya dalam dunia pendidikan serta diplomatik.

Beliau menerima wang tunai RM8,000, sijil dan hadiah yang disampaikan Abdul Rahman sendiri.

Pengasas industri penerbitan buku Harfa, Abdullah Haron, 64, dipilih menerima Anugerah Usahawan Islam.

Manakala, selebriti dakwah, Datuk Seri Nor Bahyah Mahamood, 43, dan pendakwah Muhammad Shah Shanmuga, 40-an, masing-masing dipilih menerima Anugerah Pendakwah Negeri dan Anugerah Saudara
Kita.

Anugerah Bapa Mithali diberikan kepada Sabudin Md. Hassan, 75, dan Balkis Abdullah, 58, menerima Anugerah Ibu Mithali.

Lima penerima anugerah tersebut masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil serta cenderamata.

Syed Omar yang ditemui kemudian melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan Kerajaan Negeri.

Bersempena sambutan Maal Hijrah 1435H kali ini, beliau menyeru umat Islam supaya saling bersatu padu memartabat Islam di tanah air ini.

“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini dan saya berharap sempena Maal Hijrah ini, umat Islam di Malaysia dapat bersatu demi agama dan bersama-sama berhijrah ke arah yang lebih baik,” ujar beliau kepada pemberita selepas berlangsungnya upacara penyampaian anugerah.