Hargai keprihatinan Kerajaan Negeri penuhi keperluan PDRM

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid hargai kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya dalam melawan pandemik COVID-19 di Pulau Pinang.

Beliau berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memenuhi keperluan pasukan PDRM dalam tempoh getir berkaitan telah membantu melicinkan tugasan agensi penguatkuasa itu.

“Tahun lepas sahaja, Kerajaan Negeri telah memberi sumbangan 30 khemah kepada PDRM untuk keselesaan anggota yang menjalankan tugas di lokasi-lokasi sekatan jalan raya (SJR).

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi insentif sebanyak RM300 kepada seluruh warga PDRM yang bertugas di Pulau Pinang, dan pada masa turut membantu menyalurkan bantuan makanan kepada petugas-petugas kita sejak dari (Perintah Kawalan Pergerakan) PKP 1.0

“(Dan) kita harap kerjasama baik ini akan berterusan sehingga kita sama-sama dapat menangani pandemik COVID-19,” katanya kepada Buletin Mutiara sebentar tadi.

Terdahulu, Abdul Aziz mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabat beliau dekat Komtar di sini.

Difahamkan, anak jati kelahiran Penaga, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu memulakan tugas di Pulau Pinang pada 16 April 2020, dan bakal melapor diri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 16 Jun 2021 iaitu selepas satu tahun dua bulan berkhidmat di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD