Hargai usaha RedOne Network wujud peluang pekerjaan kepada B40

Admin

GEORGE TOWN – Usaha syarikat telekomunikasi, RedOne Network Sdn. Bhd. dalam mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di negeri ini adalah amat dihargai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Peluang Pekerjaan Kepada Golongan B40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Program tersebut merupakan anjuran bersama antara RedOne Network Sdn. Bhd. dengan Pusat Khidmat Parlimen Tanjong dan juga Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) kawasan berkaitan.

Ketua Menteri ketika berucap merasmikan Program Peluang Pekerjaan KADUN PADANG Kota dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Program ini adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang mungkin menjejaskan kehidupan rakyat di negeri ini terutamanya mereka yang kehilangan peluang pekerjaan dan seumpamanya.

“Saya percaya, melalui program ini RedOne (Network Sdn. Bhd.) dapat menerangkan peluang-peluang pekerjaan yang disediakan kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan pekerjaan.

“(Dan) saya dimaklumkan bahawa program ini akan menawarkan peluang pekerjaan dengan masa yang fleksibel.

“Sekiranya program ini berjaya, kita akan memperluaskan program ini di kawasan-kawasan lain supaya lebih ramai rakyat yang memerlukan di negeri ini memperoleh pekerjaan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota, Lau Keng Ee; Pengerusi JBPP KADUN Padang Kota, Ng Chun Wei; Ketua Pegawai Jualan RedOne Network Sdn. Bhd., Ben Teh Beng Hock; Ketua Unit Jualan Wilayah Utara RedOne Network Sdn. Bhd., Alex Leon Boon Teang; Pengurus Jualan (Cawangan Pulau Pinang) RedOne Network Sdn. Bhd., Deric Ong Chee Beng serta Pengurus Saluran (Cawangan Pulau Pinang) RedOne Network Sdn. Bhd., Kenji Cheah Chen Shein.

Menyampaikan cenderahati kepada wakil penganjur.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pembangunan ekonomi Pulau Pinang kini kembali rancak selepas dua tahun berdepan penularan pandemik COVID-19.

“Sektor pembuatan di Pulau Pinang telah menarik banyak pelaburan asing malah berjaya memecah rekod negeri iaitu sebanyak RM76 bilion pada tahun lepas yang dapat menyediakan 15,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Ini menunjukkan bahawa kita semakin pulih, dan sebagai sebuah kerajaan kita (Kerajaan Negeri) bertanggungjawab untuk bersama-sama rakyat dalam menghadapi cabaran.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menguruskan pembangunan sosial dan ekonomi dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak menubuhkan JBPP di setiap KADUN sebagai landasan untuk memperkasakan lagi golongan belia.

“Selain itu, jawatankuasa ini turut memberi peluang kepada belia untuk memikul tanggungjawab memimpin serta menangani isu-isu berkaitan dengan golongan belia di negeri ini,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD