Hari Inovasi tingkatkan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat, seiring Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Penganjuran Hari Inovasi merupakan manifestasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam meraikan dan menghargai kreativiti penjawat awam yang sentiasa berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa saban tahun banyak projek inovasi berimpak tinggi berjaya diketengahkan mewakili Pulau Pinang sama ada ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

 

Saya amat berbangga melihat penjawat awam kini bergerak seiring dengan matlamat pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memfokuskan pembangunan dan inovasi bagi memastikan masa hadapan yang lebih baik, cemerlang dan lestari.

 

“Semoga usaha inovasi yang dilakukan dapat mewujudkan sinergi lebih kukuh dan utuh di samping merealisasikan dasar serta program Kerajaan Negeri dan Visi Penang2030,” ujarnya.

 

Kon Yeow berkata demikian ketika hadir ke Ruang Legar Konkos Tingkat 3 Komtar bagi merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 yang berlangsung hari ini dari 8.00 pagi sehingga 4.30 petang.

 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta barisan Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan termasuk agensi-agensi berkaitan.

 

CHOW Kon Yeow ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada 2 November 2023.

Bertemakan ‘Inovasi Pemacu Masa Hadapan Mampan’, Kon Yeow menjelaskan bahawa inovasi tidak akan berhasil sekiranya hanya terhenti pada peringkat konsep atau idea sahaja.

 

“Usaha berterusan perlu untuk membawa perubahan positif dari masa ke masa dan dengan semangat inovasi, kita dapat merangka masa depan negeri agar menjadi pemangkin ke arah negeri pintar.

 

Malah, melalui inovasi juga dapat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu kepada rakyat baik di Pulau Pinang mahupun Malaysia amnya.

 

“Saya percaya, hasil kerja keras Kerajaan Negeri bersama-sama penjawat awam di negeri ini, ia telah mewujudkan suasana kondusif inovasi yang mana kita sentiasa menggalakkan pemikiran kreatif terutama dalam kalangan orang muda.

 

“Sekiranya inovasi terus digarapkan, saya percaya kita dapat mencapai pembangunan yang mapan dan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam mentransformasikan Pulau Pinang.

 

“Jadikan Hari Inovasi sebagai penanda aras baharu yang mendorong semua warga penjawat awam untuk terus berinovasi seiring era globalisasi,” serunya.

 

Pada sambutan sama, Kon Yeow turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan yang dipertandingkan sempena Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang.

 

MBPP dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Ketua Menteri melalui inovasi Sistem Pengurusan Lesen atau dikenali sebagai ‘uLesen’ yang membolehkan individu dan syarikat memohon lesen atau permit dengan mudah, selamat serta pantas secara dalam talian.

PASUKAN daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Ketua Menteri sempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023.

Sebagai rekod, tahun ini merupakan kali pertama penganjuran Hari Inovasi diperluaskan penyertaan pertandingan kepada penjawat awam di agensi Persekutuan di Pulau Pinang dan sambutan diterima adalah amat menggalakkan.

 

Secara keseluruhan, sebanyak 24 penyertaan diterima untuk Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK); Projek Anugerah Inovasi (10) dan Pertandingan Innovation Blast (16).

 

Sebelum ini, projek inovasi yang memenangi Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan disenarai pendek ke peringkat kebangsaan anjuran Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah projek ‘Penang Smart Parking’ pada tahun 2020 dan diterajui oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama pihak berkuasa tempatan negeri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD