Hari Kebangsaan Ke-62 Peringkat Negeri disambut penuh muhibah

Admin

BAGAN DALAM – Acara sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 Peringkat Negeri Pulau Pinang diraikan dengan gilang-gemilang dan penuh semangat muhibah.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff merupakan tetamu kehormat pada acara yang berlangsung di hadapan Dataran Pemuda Merdeka, di sini.

Kawalan Kehormat membawa masuk panji-panji oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Sambutan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku – Malaysia Bersih’ dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diiringi nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita oleh Koir Guru Muzik dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan bacaan Ikrar Rukun Negara oleh lapan penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul dengan diiringi anggota koir sebelum laungan ‘MERDEKA’ bergema sebanyak tujuh kali.

Persembahan nyanyian lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Guru Muzik.

Persembahan tarian kaum-kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India oleh Kumpulan Kesenian, Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang ternyata menggamit perhatian lebih 8,000 pengunjung yang hadir dan terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum serta agama.

Kemeriahan kian terasa apabila bermulanya upacara perbarisan dan perarakan masuk 99 kontinjen berjalan kaki dan 14 kontinjen berkenderaan di sepanjang laluan Jalan Haji Ahmad Said di sini, kira-kira jam 9.30 pagi dengan jumlah keseluruhan anggota seramai 6,500 orang.

Masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama hadir memeriahkan Sambulan Hari Kebangsaan Ke-62, pagi ini.

 

 

 

 

 

 

Turut hadir menyerikan majlis, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Hadir sama, barisan Exco, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen (MP) dan ketua-ketua jabatan peringkat Persekutuan dan Negeri.

Turut dipersembahkan sepanjang acara berlangsung adalah nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi kemerdekaan dan persembahan ‘Drumline’ oleh pelajar-pelajar SMK Penang Free School.

Acara diakhiri dengan nyanyian lagu Penang2030 dan Sayangi Malaysiaku.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING