Hari Pekerja, Jagdeep rakam penghargaan kepada barisan hadapan lawan COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pagi ini meraikan Hari Pekerja 1 Mei dalam norma baru, seperti sesi pertemuan ringkas dengan amalan jarak sosial satu meter antara satu sama lain di perkarangan Padang Kota Lama.

JAGDEEP Singh Deo

Ketika berucap, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyifatkan pasukan barisan hadapan termasuk 1,900 tenaga buruh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 3,091 pekerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai wira yang tak didendang di sebalik kerja-kerja menghentikan perebakan wabak COVID-19 kini.

Beliau berkata, tidak dilupakan juga 12,988 pakar, doktor dan jururawat yang bertugas di bawah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang; Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri dengan kekuatan 5,000 anggota, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa lagi pihak yang berada dalam barisan hadapan.

“Mereka (barisan hadapan) ini lah adalah wira dan wirawati kita, wira yang tak didendang untuk memerangi COVID-19.

“Saya gembira kerana dapat berada di sini untuk memberi penghargaan setinggi-tingginya kepada mereka (barisan hadapan),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam Majlis Sumbangan Hari Pekerja 2020 Kepada Wira Hadapan di sini pada 1 Mei 2020.

Turut berucap, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Timbalan Ketua Polis Daerah (II) Timur Laut, Superitendent V. Saravanan turut sertai sesi pertemuan ringkas tersebut.

JAGDEEP Singh Deo (depan, kanan) diiringi Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer (belakang, paling kanan) menyampaikan Sumbangan Hari Pekerja 2020 kepada wakil PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada tengah hari tadi.

Menurut Jagdeep lagi, tanpa komitmen yang luar biasa daripada pasukan barisan hadapan, pelaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tahap amalan serta disiplin terbaik mungkin tidak boleh dicapai di negeri ini, seperti sekarang.

“Kita perlu tegas dalam memastikan pematuhan terhadap PKP untuk memerangi COVID-19 di mana Pulau Pinang telah melihat satu pencapaian sebanyak 99.49 peratus di MBPP dan 99.32 peratus di MBSP dan hampir sebanyak 98 peratus oleh PDRM, daripada segi pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan.

“(Kejayaan pelaksanaan PKP) ini, pencapaian yang tidak boleh kita (Pulau Pinang) capai tanpa titik peluh wira-wira (serta) wirawati-wirawati kita yang berjaya memainkan peranan di barisan hadapan dalam memastikan keselamatan kesihatan rakyat,” jelasnya.

JAGDEEP Singh Deo (kiri) menyampaikan Sumbangan Hari Pekerja 2020 kepada barisan hadapan di Hospital Pulau Pinang dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat pada pagi tadi.

Di samping itu, Jagdeep memberitahu bahawa pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, ketika PKP telah menyalurkan sumbangan Insentif Khas RM300 secara one-off kepada 10,511 wira pasukan hadapan di negeri ini.

Menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM75 juta, menurut Jagdeep lagi, sebanyak RM1.4 juta disalurkan kepada barisan hadapan MBPP dan MBSP.

“(Sementara,) RM3.3 juta (turut disalurkan untuk memperkasakan wira barisan hadapan agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan seperti JKN, anggota PDRM, ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Perang melawan COVID-19 ini masih belum berakhir tetapi saya yakin kita akan menang secepat mungkin sekiranya semua pihak terus memberikan kerjasama kepada barisan hadapan, dengan menunjukkan disiplin yang tinggi ketika PKP ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada beberapa pihak swasta termasuk Penang Sikh Association, OHM, EcoWorld dan Silver Channel Sdn. Bhd yang menyumbang hamper kepada wira-wira barisan hadapan di negeri ini.

Pada hari ini, Jagdeep turut mengadakan sesi pertemuan ringkas dengan anggota polis dan pekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam negeri, dalam dua majlis berasingan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB