Hari Ulang Tahun Ke-38 saksi MPSP dalam peta dunia

Admin
MAIMUNAH Mohd. Shariff (dua dari kiri) dan Chow Kon Yeow (depan, kanan sekali) menyiram pokok yang baru ditanam sebagai salah satu gimik sambutan Hari Ulang Tahun Ke-38 MPSP di sini baru-baru ini.
MAIMUNAH Mohd. Shariff (dua dari
kiri) dan Chow Kon Yeow (depan, kanan sekali) menyiram pokok yang baru ditanam sebagai salah satu gimik sambutan Hari Ulang Tahun Ke-38 MPSP di sini baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAMHari Ulang Tahun Ke-38 penubuhan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara yang dimuatkan dalam peta dunia.

Yang Dipertuanya, Maimunah Mohd. Shariff berkata, pengiktirafan peringkat global itu sekaligus menjemput wakil Majlis untuk menghadiri satu persidangan berprestij di Barcelona, Sepanyol dalam tahun ini.

“Kita sangat gembira kerana MPSP dimuatkan dalam peta dunia. Kita dijemput ke Barcelona untuk menyertai pembentukkan jawatankuasa baru (mengenai PBT) di peringkat dunia.

“Sesungguhnya kos menghantar wakil kita (MPSP) ke Barcelona bukanlah begitu murah. Maka, kita akan cuba mencari tajaan selain mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) jika boleh,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Dewan MPSP, Bandar Perda, di sini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow turut menyampaikan ucapan kemuncak seterusnya merasmikan majlis penuh istiadat itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, Ir. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis MPSP) serta Ahli-Ahli Majlis lain turut hadir pada majlis tersebut.

Kon Yeow turut melancarkan Laporan Setengah Tahun 2012 Penilaian Pencapaian FOKUS MPSP pada majlis tersebut. Katanya, beliau yakin bahawa komitmen padu MPSP mampu mengubah persepsi umum kononnya ‘Seberang’ dipinggirkan dari arus pembangunan yang cuba diusahakan Kerajaan Negeri.

“Persepsi awam melihat ‘pulau’ lebih maju tetapi saya percaya komitmen MPSP boleh memajukan ‘seberang’ sama maju dengan ‘pulau’,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, para pegawai serta kakitangan sokongan majlis yang memberi perkhidmatan cemerlang turut dihargai melalui pemberian anugerah serta sumbangan.