GEORGE TOWN – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa menjadi platform penting dalam mengiktiraf kekuatan, ketabahan serta pencapaian golongan wanita dari pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memperkukuh usaha membina komuniti yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Isteri kepada Ketua Menteri, Y.A.Bhg. Puan Tan Lean Kee dalam ucapannya berkata, sambutan tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan wanita dalam bidang kepimpinan, perniagaan dan seni, malah turut menghargai peranan wanita sebagai ibu, anak, penjaga serta pembina komuniti yang menjadi tunjang kekuatan keluarga dan masyarakat.

Menurut beliau, wanita memainkan peranan besar dalam membentuk masa depan yang lebih baik melalui keberanian memimpin, keupayaan membantu orang lain serta usaha berterusan memecahkan pelbagai halangan.
“Di Pulau Pinang, kita bertuah dapat menyaksikan sumbangan wanita daripada pelbagai latar belakang.
Wanita yang memimpin dengan berani, yang ‘mengangkat’ orang lain dan yang terus memecahkan halangan sambil kekal berpegang kepada nilai kasih sayang dan nilai murni.
“Apabila wanita saling menyokong antara satu sama lain, kita membina komuniti yang lebih kukuh serta masa depan yang lebih inklusif dan penuh harapan,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Malaysian Ceylonese Congress (MCC) Pulau Pinang di sini pada 3 Mei 2026.

Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa pemerkasaan wanita bukan hanya mengenai kejayaan individu, tetapi juga tentang membuka lebih banyak peluang untuk generasi akan datang.
Katanya, sambutan tahun ini menjadi peringatan bahawa setiap wanita mempunyai suara, impian dan perjalanan hidup yang wajar dihargai.
Kepada setiap wanita yang hadir pada hari ini, perjalanan anda penting, suara anda adalah penting begitu juga impian anda.
“Teruslah bangkit, memberi inspirasi dan memimpin dengan penuh semangat,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menghimpunkan individu yang percaya kepada kekuatan perpaduan serta pertumbuhan positif peranan wanita kepada masyarakat.
Beliau berharap program berkenaan dapat terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa wanita serta membawa perubahan positif dalam komuniti.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur, Datin P. Mala dan Naib Presiden MCC merangkap Pengerusi MCC Pulau Pinang, Datuk Dr. K. Parameshwaran turut berucap pada majlis sama.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran isteri kepada Presiden Majlis Perundingan Muhibbah Pulau Pinang, Puan Seri Suziwati Badawi; Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP serta Naib Pengerusi Wanita DAP, P. Kasthuri dan Ketua Wanita Majlis Perundingan Muhibbah Pulau Pinang, Datuk Marina Putih.
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI