Harta alih dirampas akibat gagal jelas yuran penyelenggaraan

Admin

TANJUNG BUNGA – Dua unit kediaman di kondominium dekat Batu Feringghi hari ini menerima waran penahanan harta alih daripada Jabatan Pesuruhjaya Bangunan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Pengarah Pesuruhjaya Bangunan MBPP, Sr. Nik Ariff Long Dir berkata, waran tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 35, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

 

Katanya, ia keluarkan atas permohonan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Edan Fairview berikutan kegagalan dua unit kediaman berkenaan gagal menjelaskan yuran penyelenggaraan masing-masing berjumlah RM9,802.60 dan RM12,347.87.

 

“Waran ini bertujuaan mendapatkan semula tunggakan tersebut selain tindakan mahkamah. Ini adalah satu opsyen oleh pihak JMB untuk meminta pemilik kediaman menjelaskan yuran penyelenggaraan yang tertunggak.

 

“Jadi, diharap tindakan tegas hari ini dapat memberikan pengajaran kepada pemilik untuk membayar yuran penyelenggaraan, kerana yuran tersebut akan digunakan untuk selenggara bangunan dengan lebih baik, selesa dan selamat,” ujar Nik Ariff pada sidang media sebelum penahanan harta dibuat.

 

Hadir sama, Pengerusi JMB Eden Fairview, Khoo Boo Yeang dan Peguam bagi JMB Eden Fairview, Willie Ong.

Maklum Nik Ariff lagi, waran terbaru hari ini adalah waran kelima yang diharntar sejak tahun 2018.

 

Bagi unit pertama, pemilik premis terbabit berjanji akan menyelesaikan tunggakan pada petang ini manakala unit kedua pula didapati tidak berpenghuni.

 

Justeru, pihak MBPP bertindak memasuki premis untuk menyita harta alih selaras dengan peruntukan perundangan.

 

Dalam pada itu, Willie Ong dalam keterangannya memberitahu bahawa unit satu mempunyai tunggakan sejak Disember 2015 hingga Januari 2020.

 

“Bagi unit kedua pula telah tertunggak sejak April 2015 hingga Januari 2020 yang mana tunggakan bagi semua tanggungan lain ketika penyitaan perlu dibayar oleh pemilik unit,” tegas beliau.

 

Difahamkan, dalam tempoh 14 hari, pemilik boleh menuntut semula harta alih tersebut sekiranya dapat menyelesaikan tunggakan.

 

Namun, sekiranya gagal berbuat demikian, harta alih tersebut akan dilelong.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD