Harungi penuaan aktif dengan lebih sihat – Chong Eng

Admin
PARA peserta acara senamrobik merakamkan gambar kenang-kenangan sempena hari akhir Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang 2022 di Bukit DO pada awal pagi tadi.

PADANG LALANG – Komuniti lokal pada semua peringkat umur terutama warga emas dan golongan rentan harus mengharungi penuaan yang lebih sihat dan bermakna.

CHONG Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata demikian semasa merasmikan hari terakhir sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang 2022 yang dianjurkan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di kawasan rekreasi tanah tinggi Bukit DO di sini pada 27 Ogos 2022.

“Menurut rangka kerja dasar WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), kadar semasa penduduk yang semakin tua di Asia Tenggara semakin meningkat, dengan kadar pertumbuhan orang berumur 60 tahun ke atas meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 (dan dijangka meningkat pada angka) 13.7 peratus dan 20.3 peratus masing-masing pada 2030 dan 2050.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Pulau Pinang pula kini merupakan negeri kedua yang menua di Malaysia dan diunjurkan menjadi negeri yang paling menua pada tahun 2040 (serta) data ini mendorong kami untuk lebih bersedia menghadapi situasi ini dalam masa terdekat.

“Melihat kepentingannya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memilih tema Hari Keluarga tahun ini sebagai ‘Penuaan Aktif’, yang juga selaras dengan Visi Penang2030 dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri mesra keluarga.

“(Penganjuran hari terakhir) Hari Keluarga pada tahun ini bertujuan untuk mempromosikan serta meningkatkan kesedaran khalayak dengan menumpukan pada aspek kesihatan sosial dan mental orang ramai apabila mereka meningkat usia,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam majlis berkaitan di sini tadi.

DUA anggota Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) lokal sedang membantu salah seorang kanak-kanak dalam acara sukaneka berkaitan di sini tadi.
ONG Bee Leng (tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan salah satu kumpulan pemenang acara sukaneka keluarga di sini tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng; Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perkhidmatan Kemasyarakat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Faidzal yang mewakili Datuk Bandar bagi pihak berkuasa tempatan berkenaan (PBT); beberapa Ahli Majlis MBSP serta Ahli Lembaga Pengarah PWDC.

Sesi pemeriksaan kesihatan percuma serta program sukan keluarga dan kanak-kanak merupakan antara acara menarik dalam program sepagi di sini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB