Hasrat buka sidang DUN Pulau Pinang semasa Parlimen tak bersidang dialu-alukan, kata responden

ILTIZAM pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengutus surat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung hasrat mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semasa Proklamasi Darurat wajar dialu-alukan.

MOHD Zamirul Mohd. Dzaki

Menurut pensyarah sebuah Universiti Swasta, MOHD. ZAMIRUL MOHD. DZAKI, 35, persidangan tersebut hanya berkaitan kepentingan Kerajaan Negeri dan penduduk Pulau Pinang dan tidak bersangkutan dengan persidangan Parlimen.

“Sepatutnya tidak ada masalah untuk diadakan persidangan DUN. Ini kerana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mempunyai ruang lingkup kuasa masing-masing dan ruang lingkup kuasa yang dikongsi secara bersama.

“Seperti Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang Libat Urus (Exco bersama-sama ADUN Pulau Pinang) telah pun menjelaskan kewajaran diadakan persidangan DUN berdasarkan ruang undang-undang darurat yang ada.

“Seperkara lagi, saya percaya Kerajaan Negeri dan agensi-agensi yang terlibat ketika ini mempunyai kemampuan untuk memastikan perjalanan sidang DUN Pulau Pinang mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) jika MKN membenarkan permohonan Pulau Pinang,” jelasnya lagi semasa dihubungi wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB pada 31 Mac 2021.

Dalam sesi ucapan penutup sesi libat urus semasa, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat jelas memperuntukkan bahawa DUN boleh dipanggil untuk bersidang walaupun Parlimen tidak bersidang, dengan melalui syor yang dikemukakan oleh Yang Dipertua Negeri atas nasihat Mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang kepada Yang Dipertuan Agong.

Tambah beliau lagi, hasrat mengadakan persidangan DUN Pulau Pinang itu adalah berpandukan kepada pandangan Jabatan Peguam Negara yang diberikan kepada Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Untuk tujuan tersebut juga, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) akan menghantar surat rasmi kepada MKN bagi memohon kebenaran bagi membolehkan Sidang DUN dijalankan,” ujarnya lagi yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamirul memberitahu bahawa hasrat tersebut membolehkan Kerajaan Negeri membawa usul meminda had umur menjadi calon pilihan raya di Pulau Pinang kepada semuda 18 tahun supaya selari dengan hasrat rakyat Malaysia untuk melihat pelaksanaan ‘Undi 18’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini juga.

“Bukan sahaja ada ruang undang-undang (berdasarkan Ordinan Darurat) untuk mengadakan persidang DUN, bahkan saya melihat Kerajaan Negeri juga mempunyai agenda khusus jika persidangan itu dibenarkan (oleh MKN),” jelasnya lagi.

ANAS Abd. Jalil

Seorang lagi responden, ANAS ABD. JALIL, 40, memberitahu bahawa hasrat untuk mengadakan persidangan DUN Pulau Pinang walaupun Parlimen tidak bersidang dalam tempoh Proklamasi Darurat akan meluaskan lagi keraguan awam terhadap Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional (PN).

“Kalau sebelum ini, orang awam nampak seperti ada dua set perundangan, di mana mereka tidak boleh rentas negeri, akan didenda sehingga RM10,000 kalau langgar SOP dan sebagainya; sementara ‘kluster menteri’ dan orang kenamaan serta selebriti dikecualikan daripada segala SOP ini.

“Kemudian, kita melihat ‘kluster kayangan’ ini boleh menganjurkan acara keramaian, program politik, jerayawara peringkat parti, acara kayuhan ria dan sebagainya semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Dan, pada hari ini kita lihat mesyuarat jemaah menteri sendiri diadakan secara bersemuka dengan SOP yang ketat, itu belum kira mesyuarat-mesyuarat agung biasa yang dianjurkan oleh parti-parti politik.

“Apabila Pulau Pinang nak mengadakan persidangan DUN ketika ini macam-macam dalih diberikan peringkat Putrajaya untuk elak persidangan Parlimen, saya melihat ia akan meluaskan lagi keraguan awam terhadap kewibawaan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PN ini,” jelasnya.

Bergiat sebagai aktivis dalam sebuah pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) berkaitan ekonomi, katanya lagi, sekiranya hasrat Pulau Pinang itu ditolak oleh MKN, maka mungkin menyerlahkan lagi ‘politiking’ serta dalih menteri tertentu untuk mempertahankan legitimasi politik jemaah kabinet Menteri PN semata-mata.

HAFIDZ Adnan

Sebagai peniaga kafeteria LokalHouse, HAFIDZ ADNAN, 32 pula menyifatkan penganjuran Sesi Libat Urus Antara Exco Bersama-sama ADUN pada 29 dan 30 Mac lalu sebagai acara ‘raptai’ bagi membuktikan Kerajaan Negeri mampu mengendalikan persidangan DUN dengan pematuhan SOP yang ketat, jika dibenarkan MKN.

“Bagi saya bagus lah kalau Pulau Pinang nak memulakan dahulu usaha membuka sidang DUN berdasarkan undang-undang yang ada.

“Ini kerana, sebagai peniaga saya melihat ada banyak perkara ‘tersekat-sekat’ pelaksanaannya, contoh paling mudah adalah kita nak melalui Ramadan lagi dua minggu, satu gegantung pun tiada untuk peniaga menyertai bazar Ramadan.

“Apabila ditanya di peringkat pentadbiran tertentu, terkial-kial kerana menunggu SOP di peringkat yang lebih tinggi.

“Selain itu, bagusnya dibuka persidangan DUN ini juga supaya segala proposal yang telah sampai ke meja Exco Pembangunan Usahawan boleh turut dibawa ke DUN, contoh polisi pendigitalan ekonomi yang memerlukan kelulusan dana dan sebagainya.

“Pulau Pinang ada misi yang memerlukan partisipasi di peringkat Persekutuan, bukan hanya pentadbiran di peringkat Kerajaan Negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) sahaja.

“Jadi, dengan tidak ada alasan lagi untuk menghalang diadakan persidangan DUN ini, secara tidak langsung turut akan mendorong proses membuka (persidangan) Parlimen walaupun dalam Proklamasi Darurat sekarang ini.

“Mungkin ada beberapa pelan pembangunan di peringkat negeri yang terpaksa ditangguhkan daripada segi kelulusan ataupun peruntukan disebabkan Parlimen tak dibuka kelak mungkin boleh diluluskan di peringkat Persekutuan setelah dibukan persidangan Parlimen,” tegasnya sambil berharap mutu perbahasan dalam persidangan DUN Pulau Pinang kelak lebih menumpu kepada aspek usaha memperbaiki teras ekonomi negeri serta membela golongan yang terjejas dek pandemik COVID-19.