Hasrat tambah 309 anggota ‘Wira Oren’ demi tingkatkan kebersihan – Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai MBSP berhasrat menambah 309 orang lagi anggota ‘Wira Oren’ sebagai usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan di seluruh Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya juga akan menambah 97 unit kenderaan pembersihan termasuk 21 unit kompaktor, kren pengangkat (8 unit), treler traktor mini dengan pemunggah mekanikal (grabber) (12 unit) dan jentera backhoe (7 unit) dengan kos RM30 juta.

“Kita (MBSP) menyediakan semua peralatan dan jentera bagi memastikan kebersihan di Seberang Perai dapat ditingkatkan terutamanya selepas dinaik taraf menjadi bandar raya.

“Oleh itu, selain menyedia jentera pembersihan ini, kita juga berharap agar berlaku perubahan sikap sama ada penduduk mahupun warga kerja MBSP untuk meningkatkan tahap kebersihan dengan cara mengurangkan penghasilan sampah,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara selepas majlis perhimpunan korporat dekat Menara Bandaraya, di sini pagi ini.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan kakitangan MBSP.

Dalam pada itu, Rozali memaklumkan bahawa MBSP turut akan memohon kepada Ketua Polis Negara bagi menambah 300 lagi anggota Pasukan Polis Bantuan MBSP.

Katanya, pihaknya juga telah menjenamakan semula Pasukan Polis Bantuan MBSP dengan memberi penganugerahan pingat kebaktian selain dinaikkan pangkat sehingga ke jawatan Penolong Penguasa Polis (ASP).

“Justeru, wajarlah peranan Polis Bantuan dan Direktorat Penguatkuasaan diperluas untuk melakukan kerja-kerja penyuraian trafik semasa waktu puncak di lokasi-lokasi yang tidak dikawal oleh anggota trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Selain itu, mereka juga perlu diberi tugas memeriksa kenderaan-kenderaan yang disyaki membawa sampah ke lokasi haram sehingga mengganggu kesihatan penduduk,” ujarnya lagi.

Difahamkan, MBSP kini mempunyai seramai 30 anggota Pasukan Polis Bantuan yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAH ADIL MUHAMAD