Hayati tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’, eratkan hubungan rakyat berbilang kaum – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ telah diangkat sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun 2019 bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan serta kemakmuran bersama.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pemilihan tema tersebut bertepatan dalam merapatkan hubungan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

 

“Hari Kebangsaan bukan semata-mata diraikan bagi mengenang jasa tokoh-tokoh yang memainkan peranan penting bagi memastikan negara kita mengecapi kemerdekaan.

 

“(Tetapi) juga mengingatkan kita semua betapa pentingnya rakyat berbilang kaum di negara ini harus menyayangi Malaysia, tanah air kita,” ucapnya pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2019 anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Parlimen Tanjong dan Persatuan Kemajuan Wanita (Perjuanita) Persatuan Muslim Bersatu (UMA) Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang dekat sini pagi ini.

ANTARA tarian tradisional yang dipersembahkan oleh artis cilik pada penganjuran majlis berkaitan, pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang serta barisan Pengerusi dan ahli JPWK Padang Kota, Pengkalan Kota dan Komtar (di bawah Parlimen Tanjong).

 

Melalui sambutan Hari Kebangsaan, Kon Yeow yakin ia dapat mengeratkan lagi hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini.

 

“Negara kita sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan dan keharmonian yang terhasil adalah daripada semangat perpaduan yang wujud antara rakyat Malaysia.

 

“(Dan) inilah satu keistimewaan serta daya tarikan bukan sahaja buat pelabur asing tetapi juga pelawat serta pelancong dari luar negara yang datang ke Malaysia.

 

“Jadi, saya berharap agar semua rakyat Malaysia khasnya di Pulau Pinang dapat menghayati tema sambutan tahun ini dan meraikannya dengan penuh rasa bangga,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya menggembleng tenaga mengadakan majlis sambutan pada hari ini.

TARIAN tradisional yang turut mencuri tumpuan.

Toh Puan Dato’ Seri Utama Majimor Shariff, isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, hadir bagi menyempurnakan lafaz perasmian serta menyampaikan sijil penghargaan kepada barisan penaja dan penganjur.

 

Usai perasmian, Majimor berkenan meluangkan masa melawat ke ruang pameran yang disertai oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat sambil ditemani oleh Kon Yeow dan barisan tetamu lain.

 

Terdahulu, majlis diserikan dengan persembahan ‘Tarian Muhibah’ daripada kanak-kanak kurang upaya (OKU), deklamasi sajak ‘Malaya Pasti Merdeka’, tarian kebudayaan dan tradisi kaum yang terdapat di Malaysia serta nyanyian lagu patriotik.

 

Majlis sambutan yang bermula seawal jam 8 pagi itu juga sarat dengan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah dan paling mencuri tumpuan adalah persembahan keselamatan daripada pasukan Bomba.

 

Difahamkan, majlis sambutan berkenaan merupakan yang julung kali diadakan serta dikelola sepenuhnya oleh JPWK Padang Kota, Komtar dan Pengkalan Kota.

 

Sebagai rekod, JPWK ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan negeri yang mana keanggotaannya adalah 100 peratus wanita setempat.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD