Hebah norma & budaya masyarakat Malaysia – Mohamed Nazri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersama-sama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan terus berkerjasama dengan agensi-agensi pelancongan bagi memberi penerangan lanjut dalam memastikan industri pelancongan negeri ini terus berkembang pesat tanpa dicemari tindakan melampaui batasan etika kemanusiaan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, walaupun dunia menganggap Malaysia sebuah negara konservatif, namun, penerangan lanjut berkaitan etika dan moral perlu bagi mengekang perbuatan tidak bermoral seperti yang terjadi di Teluk Kampi, Teluk Bahang baru-baru ini.

“Kita akan meminta agensi-agensi pelancongan menghebahkan norma dan budaya masyarakat Malaysia kepada pelancong supaya mereka (pelancong) tahu apa yang tidak boleh dilakukan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulangtahun ke-228 Kota Cornwallis di sini baru-baru ini.

Tambah Mohamed Nazri, ia bukan masa untuk menunding jari, sebaliknya semua pihak perlu berkerjasama dan berusaha memastikan industri pelancongan negara tidak dicemari insiden tidak bermoral.

Kota Cornwallis dibina oleh Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1786 dan telah dinamakan selepas abad ke-18 sempena Gabenor Jeneral di Bengal, India, Charles Marquis Cornwallis. Kota kubu yang pada mulanya dibina dari kayu nibong, kemudiannya diserahkan kepada Gabenor Pulau Pinang, Sir Francis Light.

Kini, Kota Cornwallis adalah kota kubu terbesar di negara ini, walaupun peranannya sebagai kubu tidak pernah menyaksikan pertempuran dalam sejarahnya.