Tubuh COMBI cegah wabak zoonotik

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KEPALA BATAS – Satu seminar kesedaran pri bahaya wabak Zoonotik Babi diadakan di Kampung Selamat di sini ekoran laporan kes penyakit jangkitan, Japanese Encephalitis (JE) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim berkata, pihaknya akan menubuhkan Communication for Behavioural Impact (COMBI) di sini demi mencegah wabak berjangkit berkenaan.

“Walaupun keputusan ujian darah yang diambil pada penternak babi di Kampung Selamat adalah negatif, aspek pengawalan penyakit tetap perlu diambil tindakan memandangkan JE adalah penyakit zoonotik jangkitan haiwan kepada manusia yang dibawa oleh nyamuk.

“Babi dan burung liar adalah perumah pengganda bagi virus JE ini,” ujarnya kepada wartawan selepas selesai seminar sepetang di sini baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad turut hadir mewakili Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr. Johari A. Bakar.

Menurut Dr. Lailanor, COMBI akan membantu dalam aspek kebersihan dan pengurusan ladang perlu diambil perhatian semua pihak berwajib demi mengelak pembiakan nyamuk pembawa virus tersebut.

“Aspek Peladangan yang baik atau Good Animal Husbandary Practices (GAHP) perlu dipraktikkan penternak untuk mengelak penyakit haiwan, terutama mengelak virus Nipah datang kembali,” jelas beliau sebelum demontrasi alat fogging diadakan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang pada 1 Julai lepas menjalankan kajian persampelan demi mengesan penyakit JE membabitkan 20
penternak babi di Tingkat 5, Tingkat 6, Tingkat 7 dan Tingkat 8 di sini.

Kajian terbabit adalah berdekatan dengan anggaran 1 kilometer radisu dari Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Selamat, di sini.

Difahamkan, sebanyak 191 sampel darah diambil untuk kajian persampelan tersebut.