Henti sebar fitnah penutupan restoran nasi kandar di Pulau Tikus – ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mahu dakwaan fitnah ke atas Restoran Nasi Kandar Raffe Pulau Tikus difitnah kononnya dikenakan tindakan penutupan baru-baru ini dihentikan.

Jelasnya, sebagai ADUN kawasan, beliau turut bertanggungjawab untuk membersihkan nama restoran terbabit yang merupakan sebahagian dari ‘institusi’ di Pulau Tikus.

“Saya mahukan perkara yang adil kepada mereka (Restoran Nasi Kandar Raffe), kalau mereka ada buat salah memang patut ambil tindakan.

“Tetapi kalau semua pemeriksaan semua lulus, namun mungkin akibat ada yang iri hati, dia tulis mesej yang palsu untuk sebaran umum (viral) ini tidak adil.

“Sebagai ADUN juga, saya mahu pastikan ekonomi di Pulau Tikus tidak terjejas, walaupun saya amat tegas kepada peniaga untuk mematuhi undang-undang sedia ada, tetapi kalau ada perkara tidak adil, saya beri mereka platform untuk suarakan,” tegas Chun Kit dalam satu sidang media di Medan Maktab, pagi ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Restoran Nasi Kandar Raffe, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe dan Avinash Mohamed Raffe.

Menurut Firdaus, pihaknya mengesan berita palsu tersebut disebarkan melalui aplikasi WhatsApp (hujung Februari lalu) yang mengatakan retorannya ditutup disebabkan kotor dan terdapat bangkai tikus.

“Padahal kami beroperasi seperti biasa, saya dengar dari pelanggan juga, lepas itu saya tengok WhatsApp group pelanggan itu, macam-macam dah orang komen.

“Perkara tersebut itu pun cuma andaian mereka sendiri yang diletakkan dalam WhatsApp, hinggakan dalam Facebook juga orang ramai komen negatif.

“Justeru kami juga buat laporan kepada Polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk tindakan menyekat fitnah ini dari berleluasa,” jelas Firdaus lagi.

Tambah Firdaus perniagaan diwarisi dari datuk beliau tersebut sememangnya tidak pernah ditutup akibat isu kebersihan dan pemeriksaan berkala Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sekitar premisnya memang kerap dilakukan.

“Bahkan kami turut mendapat pengiktirafan sijil BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD