Hentikan kegiatan vandalisme di Taman Areca

SUNGAI PINANG – Orang ramai yang datang beriadah di Taman Areca dekat Persiaran Karpal Singh di sini dinasihatkan supaya tidak melakukan vandalisme terhadap pokok-pokok serta kemudahan di kawasan tersebut.

 

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim memberitahu bahawa belakangan ini menyaksikan ada pihak yang tidak bertanggungjawab acap kali mencuri atau memusnahkan pokok-pokok hiasan serta tanaman lain di taman tersebut.

 

 

 

“Taman ini milik kita semua, janganlah pentingkan diri, saya berani cakap taman ini mendapat pujian ramai bahkan ia lengkap dengan komponen kekeluargaan tambahan pulau ia merupakan tempat riadah di tengah-tengah bandaraya.

 

 

 

“Datang ke sini pupuk semangat bersenam bersama-sama keluarga, kita perlu hargai kecantikan dan kebersihan di sini, kita bukan cakap semua, tetapi ada segelintir pengunjung yang melakukan kersosakan dengan mencuri pokok, rosakkan pokok dan termasuk buang sampah.

 

“Kita ada pekebun, ada hasil (sayur-sayuran) kita boleh kongsi tanpa perlu mencuri, kita juga akan marah sekiranya tanaman di rumah kita dirosakkan atau dicuri,” ujar beliau kepada pemberita ketika menyertai acara gimik program penanaman 500 pokok bunga raya di Taman Areca pada pagi ini.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSKLPP) Mohamed Akbar Mustapha memberitahu bahawa landskap serta kemudahan awam di Taman Areca boleh disifatkan sebagai ‘taman botani mini’ di Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, taman tersebut juga memenuhi piawaian Sustainable Development Goals (SDG) yang disyaratkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Ditanya mengapa memilih bunga raya sebagai tanaman baharu dengan jumlah besar, Akbar memaklumkan bahawa pemilihan bunga kebangsaan Malaysia itu adalah ilham Siew Khim sendiri.

 

“Taman ini menempatkan pelbagai spesies pokok sempena nama tempat di Pulau Pinang seperti Gelugor, Jelutong dan sebagainya bersama pelbagai pokok-pokok bunga unik sebagai terapi kepada pengunjung di sini termasuk taman terapeutik.

 

 

“Antara lain penanaman bunga-bunga yang menjadi kegemaran rama-rama turut ditempatkan bagi menarik serangga tersebut ke sini,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Khim dan Akbar memberitahu bahawa dalam perancangan mereka untuk menwujudkan ‘Areca Little Market’ yang akan beroperasi pada hujung minggu setiap bulan.

 

 

“Jualan seperti pokok-pokok bunga serta sayuran termasuk cenderahati antara yang sedang dipertimbangkan,” jelas Akbar lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD