Exco harap roadshow MSNPP berjaya cungkil bakat baru

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AMANDA KHONG XIA LING

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) selama dua hari mulai 23 April lalu menganjurkan Pameran Terbuka Arena Sukan di sebuah pusat membeli belah terkemuka di sini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng semasa berucap melahirkan harapan supaya aktiviti sebegitu berjaya menarik lebih ramai golongan belia dan kanak-kanak untuk menceburi sukan yang mereka minati.

“Saya berharap agar usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sukan-sukan ini dapat menarik minat lebih ramai orang muda untuk menceburkan diri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu, minat sahaja adalah tidak memadai melainkan perlu mempunyai kegigihan serta disiplin yang tinggi untuk memburu kejuaraan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David dan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sebagai anak kelahiran Pulau Pinang, kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa.

 “Anda mampu menjadikan sukan sebuah kerjaya yang berjaya seperti Datuk Lee Chong Wei (Chong Wei) dan Datuk Nicol Ann David (Nicol).

“Kemahuan untuk mencipta kejayaan tidak datang begitu sahaja, tetapi ianya datang daripada atlet sendiri yang sentiasa dahagakan kejayaan,” ujarnya.

Kepada ibu bapa dan waris, tambah Chong Eng, perlu memberi sokongan moral yang tidak berbelah-bahagi demi memastikan anak masing-masing menimba ilmu serta pengalaman sampai bergelar juara dalam sukan diminati mereka.

Sepanjang pameran terbuka tersebut, para pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi sukan dan persembahan pentas termasuk wushu, gimrama, pencak silat, silambam, karate, sukan tinju, lawan pedang, woodball, berbasikal serta sukan-sukan berprestasi tinggi yang lain.

Pada hari tersebut, ibu bapa yang berminat mengetengahkan bakat anak-anak mereka dalam sukan tertentu boleh datang terus berjumpa dengan kakitangan dan pegawai MSNPP bertugas.

Bagi yang tidak berkesempatan, boleh hubungi MSNPP di talian 04 – 660 6032 bagi keterangan lanjut.