Hentikan tindakan politik, tumpu usaha lawan COVID-19

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melahirkan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang sengaja mempolitikkan isu pelaksanaan larangan menjaja di negeri ini yang bertujuan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Beliau memberi respons tersebut apabila ada segentir pihak yang sengaja mengaitkan isu pelaksanaan larangan menjaja di tepi jalan membabitkan empat pasar di bahagian pulau di negeri sebagai kelemahan pentadbiran Pakatan Harapan.

Malah, ada juga pihak yang mengaitkan isu tersebut dengan stigma perkauman.

“Banyak yang berlaku dalam tempoh 24 jam, arahan-arahan baru dikeluarkan khususnya oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan semua.

“Contohnya, pada hari pertama pelaksanaan larangan menjaja di tepi jalan membabitkan empat pasar di bahagian pulau, Pasar Awam Air Itam mendapat liputan paling meluas sehingga ada pihak yang tidak bertanggungjawab mempolitikkan isu tersebut.

Saya menolak sekeras-kerasnya tindakan tersebut kerana sejak awal lagi saya sudah menegaskan bahawa saya tidak berminat untuk berpolitik dalam isu ini.

Kita (Kerajaan Negeri) tidak berbangga sedikitpun walaupun angka kes positif COVID-19 di Pulau Pinang jauh lebih rendah berbanding negeri lain termasuk negeri yang mempunyai kerajaan parti politik yang tidak sama dengan kita.

Ini bukanlah masa kita membeza-bezakan sesama rakyat Malaysia kerana mangsa COVID-19 di Pulau Pinang ialah orang Malaysia, mangsa di Johor juga orang Malaysia, di Kelantan pun tidak kurang status Malaysianya, begitu juga di Sarawak tetap orang Malaysia.

“Maka, hentikanlah tindakan mempolitikkan COVID-19, kita mesti menumpukan sepenuh usaha melawan wabak ini sebagai satu negara dan satu bangsa,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live tengah hari ini. (https://www.facebook.com/ChowKonYeow/)

Menurut Kon Yeow, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini memaklumkan bahawa keadaan di keempat-empat pasar iaitu Pasar Awam Air Itam, Pasar Awam Bayan Baru, Pasar Awam Jelutong dan Pasar Awam Jalan Perak adalah 90 peratus terkawal.

“Malah, kebanyakan pasar-pasar awam di negeri ini telah melaksanakan kaedah pencegahan jarak sosial satu meter dengan meletakkan tanda di lantai.

TANDA yang diletakkan di lantai di pasar-pasar awam sebagai langkah pematuhan jarak sosial yang selamat.

“Sebagai tambahan, gerai-gerai tepi jalan di Pasar Awam Pulau Tikus turut akan ditutup berkuat kuasa esok, 24 Mac 2020.

“Manakala, bagi kerja-kerja pembasmian virus di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dibuat dua hari sekali dan meja ikan, sayur serta perniagaan lain dibasuh setiap hari oleh peniaga.

“Di kawasan kelolaan MBPP pula, kerja-kerja pembasmian virus dilakukan di semua pasar awam setiap hari oleh wira-wira barisan hadapan pihak berkuasa tempatan berkenaan,” jelasnya.

Dalam sidang media tersebut juga, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa COVID-19 Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendengar taklimat daripada jabatan serta agensi berwajib berhubung status terkini COVID-19.

Antaranya:

i. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) masih meneruskan usaha membuat saringan terhadap mereka yang berkaitan.

ii. Jabatan Imigresen Malaysia mengemas kini mengenai warga Pulau Pinang yang ke luar negara dan balik dari luar negara.

iii. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula berhubung keputusan membenarkan kilang-kilang tertentu yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) untuk beroperasi.

iv. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga memberi taklimat tentang kedudukan barangan kesihatan seperti hand sanitizer, face mask dan sebagainya serta keadaan barangan keperluan harian yang mencukupi ketika ini, dan

v. Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang mengenai larangan bekerja, isu gaji dan sebagainya yang berkaitan.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut memaklumkan langkah tambahan baharu bagi perkhidmatan bas awam di negeri ini.

Perkhidmatan bas awam Rapid Penang akan dikurangkan sebanyak 70 peratus bermula hari ini, manakala bagi perkhidmatan bas CAT percuma akan dikurangkan sebanyak 50 peratus.

“Semua jadual perkhidmatan Rapid Penang boleh dirujuk melalui aplikasi telefon pintar Rapid Penang Journey Planner termasuk perubahan masa operasi feri yang turut dikurangkan frekuansinya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak akan terus memberi sokongan dan galakan antara satu sama lain dalam tempoh yang begitu mencabar ini.

“Saya yakin rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia mampu mengharungi tempoh kesukaran ini bersama-sama.

“Nasihat saya, duduk di rumah, kurangkan pergerakan di luar rumah, gunalah perkhidmatan penghantar bagi membeli barangan keperluan anda dan jangan berdegil lagi,” tegasnya.

Pada kesempatan tersebut juga, Kon Yeow turut menzahirkan rasa penuh hiba dengan ucapan takziah kepada keluarga pesakit COVID-19 yang meninggal dunia semalam (22 Mac 2020) di Hospital Pulau Pinang.

Sehingga 12:00 tengah hari 22 Mac 2020, sebanyak 58 kes positif direkodkan di Pulau Pinang, manakala 1,306 kes di seluruh negara.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN