Hospital Bukit Mertajam punyai fasiliti tambahan tukar guna pengurusan bencana

STEVEN Sim Chee Keong (lima dari kiri) diiringi Dr. Dr. Goh Hin Kwang (enam dari kiri), Dr. Illiana Syahmun Mohd. Razally (tujuh dari kiri) serta petugas perubatan lain merakamkan gambar kenang-kenangan di depan pintu utama fasiliti tambahan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Bukit Mertajam di sini pada pagi tadi.

BERAPIT – Reka bentuk fasiliti tambahan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Bukit Mertajam yang dilengkapi 32 unit katil mudah alih beserta sistem bantuan penafasan; bukan sahaja mampu menampung lambakan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan awal berkaitan COVID-19 ketika ini, bahkan boleh ditukar guna sebagai zon pengurusan bencana pada masa hadapan jika diperlukan.

Pengarah Hospital Bukit Mertajam, Dr. Goh Hin Kwang berkata demikian dalam sesi lawatan kerja Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong di sini pada 16 Oktober 2021.

 

STEVEN Sim Chee Keong (kanan) turut mengadakan panggilan video dengan Datuk Lim Chong Wei semasa melawat projek fasiliti tambahan berkenaan tadi.

Turut serta, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Bukit Mertajam, Dr. Illiana Syahmun Mohd. Razally serta pembantu-pembantu perubatan dan jururawat lain.

Mengulas lanjut, Hin Kwang berkata bahawa kos keseluruhan projek fasiliti tambahan di sini adalah antara RM500,000 hingga RM600,000 yang disumbangkan oleh pelbagai syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Yayasan Lee Chong Wei (RM243,000).

 

DR. Goh Hin Kwang

“Reka bentuk fasiliti tambahan ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dalam jangka masa pendek (iaitu semasa pandemik), bahkan COVID-19 ini zon ini akan dijadikan Zon Pengurusan Bencana untuk Kawasan Bukit Mertajam.

“Misalnya, kalau ada kebakaran atau letupan di kilang yang melibatkan 100 mangsa, di Jabatan Kecemasan (dan Trauma) yang biasa tidak boleh menampung keadaan tenat itu, tetapi dengan adanya Zon Pengurusan Bencana ini memang boleh melakukan kerja rawatan awal dan sementara untuk mangsa,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

 

DR. Illiana Syahmun Mohd. Razally

Sementara itu, Dr. Illiani Syahmun pula menambah, terdapat empat ruang utama pada fasiliti tambahan tersebut untuk memenuhi keperluan proses penyaringan pesakit kategori tidak kritikal, separa kritikal dan kritikal yang mana dua ruang utama dinamakan sebagai Zon Badminton dan Zon Olimpik sempena mengenangkan jasa sumbangan Datuk Lee Chong Wei.

“Operasi di sini (fasiliti tambahan) di sini sudah boleh mula beroperasi sesegera mungkin,” katanya.

 

STEVEN Sim Chee Keong

Sebelum pada itu, Chee Keong sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Chong Wei yang juga bekas jaguh badminton negara atas sumbangan berkaitan.

Menurut Chee Keong lagi, beliau akan berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung status program pemberian suntikan ketiga vaksin untuk populasi penduduk negeri ini.

“Saya memang senantiasa membuat susulan lanjut dengan Menteri Kesihatan dan semalam (15 Oktober 2021) saya ada menghubungi beliau untuk mengemas kini (program penyelarasan berkaitan COVID-19 antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri).

“(Dan), respons Menteri Kesihatan untuk program suntikan dos ketiga untuk populasi penduduk Pulau Pinang akan dimaklumkan pada Isnin (18 Oktober 2021) depan,” ujar beliau yang juga Penyeralas Covid-19 antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan.

Pada majlis sama, Chee Keong turut menyerahkan cek sumbangan peribadi sebanyak RM1,800 untuk pembinaan pintu utama automatik pada fasiliti tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Bukit Mertajam tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB