Hujan renyai tidak jejas raptai penuh Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri

Admin
429041bb 31e4 4d65 887d 489ef1750be2 KAWAD Kaki kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sambil memegang Jalur Gemilang antara yang menyertai acara raptai perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Tahun 2025 di kawasan lapang dekat Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada awal pagi tadi (29 Ogos 2025).

ESOK, 31 Ogos 2025, acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri bakal diadakan di perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan.

Acara dijadualkan bermula pada 7.45 pagi dan dijangka berakhir pada 11.30 pagi esok.

Seawal jam 7.00 pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD berkesempatan membuat tinjauan lapangan berkaitan raptai penuh sambutan di perkarangan hadapan pintu masuk stadium, yang dijadikan pentas utama esok.

Kelihatan sekumpulan kakitangan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memunggah perabut pentas serta menyusun atur kerusi di khemah utama serta khemah sisi kiri dan kanan.

Sementara di dataran perbarisan utama, sekitar 8.10 pagi, kelihatan pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dengan diiringi muzik lagu patriotik di bawah kendalian pasukan pancaragam dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri sedang bersiap sedia untuk memulakan raptai penuh.

Pada sesi taklimat ringkas sebelum itu di sini tadi, Setiausaha Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Mohd. Roshidi Azmi memberitahu bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Seri Law Choo Kiang yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Negeri Pulau Pinang, dan isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang dijangka tiba pada 8.15 pagi; disusuli Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee dengan diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long serta isteri, Datin Seri Faziah Johari.

Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dijadual tiba pada 8.30 pagi.

Tun Ramli sendiri akan membuat pemeriksaan kawalan kehormatan dengan adat istiadat penuh.

Selepas itu, adalah acara nyanyian Negaraku dan beberapa lagu patriotik oleh pasukan koir khas yang terdiri daripada 80 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin serta empat guru, di bawah pimpinan Cikgu Renny Loo.

Acara seterusnya adalah melafazkan ikrar Rukun Negara dan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali yang akan diketuai oleh atlet karate negeri, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik.

Beliau merupakan pemenang pingat emas dalam acara kumite bawah 84 kilogram di Sukan Asia Hangzhou 2022, yang mana kejayaannya itu juga mengakhiri kemarau pingat emas karate Malaysia di Sukan Asia selama sembilan tahun.

Susulan kejayaan itu, Muhammad Arif Afifuddin dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 dan ditaklifkan menggalas salah satu acara penting sempena sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini.

Tak kurang menariknya adalah acara perarakan Jalur Gemilang oleh sekumpulan anggota tentera, diikuti nyanyian Lagu Negaraku, walaupun raptai pada pagi ini ‘ditemani’ hujan renyai seketika.

e7120ee5 5ce6 47ff b9be 927336520c7f
ZOLKIFLI Long (tiga dari kiri) dari pentas utama turut memantau perjalanan acara raptai majlis berkaitan di sini tadi.

Selain Mohd. Roshidi, turut kelihatan di sini sejak pagi tadi ialah Zulkifli sendiri sedang sibuk memantau perjalanan raptai acara persembahan.

Difahamkan, sebanyak 122 kontinjen kawad kaki daripada pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun negeri dan persekutuan,anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai acara perbarisan pada kali ini, yang mana menjadikan jumlah keseluruhan peserta perbarisan seramai 7,533 orang.

Penyertaan bagi kontinjen berkenderaan pula adalah sebanyak 22 penyertaan melibatkan 958 orang dengan 676 buah kenderaan.

Manakala, keseluruhan jawatankuasa dan petugas yang terlibat pula seramai 1,531 orang.

Ini, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kontinjen dan urus setia yang terlibat pada tahun ini adalah berjumlah 10,072 orang.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 dijangka akan menerima kehadiran pengunjung seramai 10,000 orang.

Ayuh buktikan semangat patriotik kita dengan membanjiri kawasan lapang Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan, bagi menyambut acara istimewa esok..!