Inisiatif Negeri Pintar, pelan hala tuju transformasi Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sasaran Pulau Pinang berstatus negeri pintar dilihat berada pada landasan tepat apabila 33 daripada 73 inisiatif pintar yang direncanakan berjaya dilaksanakan, manakala 26 inisiatif sedang dilaksanakan dan bakinya akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri kini mensasarkan pelaksanaan sehingga 100 inisiatif pintar  menjelang akhir 2021.
“Inisiatif Negeri Pintar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah berdasarkan empat teras strategik iaitu tadbir urus, infrastruktur, data dan rakyat.
“Ini termasuk lima domain utama iaitu Kerajaan Pintar, Masyarakat Pintar, Persekitaran Pintar, Mobiliti Pintar dan  Ekonomi Pintar,” ujarnya dalam satu sidang media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hamper Kepada Ibu Tunggal Sempena Perayaan Deepavali 2020 di Sri Ayappan Seva Samajam, Jalan Sri Bahari semalam.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Mohd Rizwan Rozi.
Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa suatu mesyuarat bagi memuktamadkan dokumen pelan hala tuju tersebut telah diadakan pada 22 Mac 2021 yang lalu dengan dihadiri oleh pelbagai jabatan dan agensi terlibat.
“Draf dokumen tersebut telah dipersetujui untuk diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK)  bagi kelulusan akhir sebelum proses pengeditan, rekaan dan cetakan dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau lagi, antara inisiatif pintar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah mentransformasikan kaedah pembayaran cukai dan hasil dengan menggunakan perkhidmatan online serta secara tanpa tunai atau e-pembayaran kepada penduduk negeri ini. 
“Setakat ini, jumlah kutipan hasil yang diperolehi melalui e-pembayaran daripada kesemua 23 jabatan dan agensi pemungut hasil Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2021 adalah melibatkan sebanyak 217,370 bilangan transaksi iaitu 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kesemua bilangan transaksi.
“Manakala nilai transaksi melalui e-pembayaran sepanjang bulan Februari 2021 pula adalah sebanyak RM104,262,062.02 iaitu 50.8 peratus daripada jumlah nilai transaksi keseluruhan,” jelasnya.
Lain-lain inisiatif pintar yang telah dilaksanakan termasuklah aplikasi Penang Smart Parking, penglibatan penjaja di pasar awam menggunakan e-pembayaran, analitik data raya untuk kemudahan rakyat melalui perkhidmatan penyampaian kerajaan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Terdahulu, Jagdeep meluangkan masa menyerahkan sumbangan bantuan barangan keperluan harian dan pakaian kepada 50 ibu tunggal terpilih di sekitar KADUN Datuk Keramat.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI