Ibu & bapa besarkan 7 anak antara penerima anugerah

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MOHD. HAFIZ TAJUDIN & LAW SUUN TING

BALIK PULAU – Sempena sambutan Maal Hijrah 1434H peringkat Negeri Pulau Pinang, seramai lima anak jati negeri diberi penganugerahan bagi mengenang jasa mereka dalam memartabatkan agama Islam di sini baru-baru ini.

Lima kategori penganugerahan tersebut terdiri daripada Tokoh Maal Hijrah, Bapa Mithali, Ibu Mithali, Pendakwah dan Saudara Kita. Tokoh Maal Hijrah kali ini berjaya digondol oleh Mat Isa Puteh, 73, di atas jasanya yang banyak memberi sumbangan dalam bidang pendidikan Islam sejak tahun 1968.

Mat Isa, sebelum ini pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Simpang Empat, Seberang Perai Selatan (SPS) dan dari situ, beliau mengembangkan kerjaya mendidik sehingga kini dilantik sebagai penasihat Sekolah Agama Nurul Falah di Simpang Empat.

“Pertama sekali, tentulah gembira dengan pengiktirafan ini dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri.

“Saya rasa ini semua berkat istiqomah saya dalam menjalankan tugas mendidik terutamanya berkenaan agama Islam dan tidak pernah mengenal erti jemu dalam mengajar,’’ katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran dan Perhimpunan Ummah sempena Maal Hijrah 1434H Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Pesara Pesuruhjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Zainon Abd. Hamid, 62, diumumkan sebagai penerima Anugerah Bapa Mithali. Walaupun membesarkan tujuh anaknya dalam kesederhanaan, semua anaknya berjaya melangkah ke menara gading (dua masih belajar) manakala, lima daripada mereka kini berkhidmat dalam bidang profesional seperti jurutera serta pegawai.

Usaha gigih Siti Hatijah Mohamed, 62, membesarkan tujuh anaknya setelah kematian suami, Salleh Mat Arif pada tahun 2003 membolehkan beliau merangkul anugerah Ibu Mithali. Hasil didikan beliau, semua anaknya juga disifatkan berjaya termasuk menjadi pakar bius di Hospital Pulau Pinang. Dua lagi masih belajar termasuk seorang di Australia.

“Anugerah ini adalah berkat dari arwah suami saya juga.

“Beliau juga banyak berkorban dalam mendidik tujuh anak hingga berjaya dan menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Saya turut menasihatkan mereka supaya mendisiplinkan diri dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujar beliau dalam nada sayu.

Bagi Anugerah Saudara Kita, Khaw Lek Ming, 33, diumumkan sebagai penerima. Selain bekerja di sebuah syarikat swasta di Island Glades di sini, beliau turut aktif berdakwah dan menjadi pembimbing kepada saudara baru.

Beliau turut dilantik sebagai kaunselor Pemurnian Akidah Masjid Negeri Pulau Pinang.

“Bagi saya, ini adalah satu permulaan supaya saya dapat berusaha lebih gigih dan yakin dalam melakukan usaha murni ini.

ZAINON Abd. Hamid (kiri sekali) menerima Anugerah Bapa Mithali daripada Abdul Rahman Abbas (kanan sekali) sambil diperhatikan Mansor Othman (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kanan).
ZAINON Abd. Hamid (kiri sekali) menerima Anugerah Bapa Mithali
daripada Abdul Rahman Abbas (kanan sekali) sambil diperhatikan
Mansor Othman (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (tiga
dari kanan).

(Dari kiri), MAT Isa Puteh, Suhaimi Abdullah, Khaw Lek Ming, Zainon Abd. Hamid dan Hatijah Mohamed bergambar kenang-kenangan selepas menerima anugerah masing-masing pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
(Dari kiri), MAT Isa Puteh, Suhaimi Abdullah, Khaw Lek Ming, Zainon
Abd. Hamid dan Hatijah Mohamed bergambar kenang-kenangan
selepas menerima anugerah masing-masing pada Majlis Sambutan
Maal Hijrah 1434 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.