Ibu tunggal gembira Kerajaan Negeri bantu bina rumah baru

Admin

TELOK AYER TAWAR – Keceriaan jelas terpancar di wajah Fatimah Harun apabila impiannya untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai hasil keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Fatimah, 69, yang merupakan seorang ibu tunggal kini hidup menumpang di kediaman milik abang kandungnya sejak lebih enam tahun lalu.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Fatimah yang bekerja sebagai guru mengajar Al-Quran separuh masa meluahkan rasa syukur dan gembira apabila beliau berpeluang tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa apabila siap kelak.

Fatimah Harun.

“Sebelum ini, saya memang mempunyai rumah sendiri tetapi telah diarahkan keluar kerana tanah yang saya duduki ketika itu adalah milik individu lain.

“Selepas itu, abang saya membantu menyediakan sebuah rumah untuk saya di atas tanah sendiri untuk saya tinggal bersama-sama dengan dia dan lapan anaknya.

“Malangnya, abang saya sudah meninggal dunia dua tahun lalu, dan rumah ini kini didiami oleh keluarga anak saudara saya.

“Oleh itu, saya memerlukan sebuah rumah untuk saya jalani hidup dengan lebih selesa.

“Syukurlah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu prihatin dan setuju membina sebuah rumah baru untuk saya,” katanya yang tidak mempunyai cahaya mata ketika ditemui sempena lawatan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ke tapak projek rumah berkenaan dekat Permatang Tok Gelam di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri bersama isteri melakukan lawatan ke tapak pembinaan rumah baharu Fatimah Harun dekat Permatang Tok Gelam, di sini pagi tadi.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Ayer Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta ramai lagi.

Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa projek pembinaan rumah baru bernilai RM55,000 itu adalah dilaksanakan di bawah Projek Ekonomi Khas bagi membantu rakyat termiskin di negeri ini yang belum memiliki kediaman sendiri.

“Program ini sudah berjalan di setiap daerah, misalnya di Daerah SPU, sebanyak 42 buah rumah telah dibina sejak tahun 2017 hingga kini.

“Jadi, kita berharap program ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah memiliki sebuah rumah yang lebih selesa berbanding keadaan sedia ada.

“Projek ini akan diteruskan dan membawa impak kepada golongan yang memerlukan,” katanya sambil menambah bahawa peruntukan bagi program tersebut disediakan setiap tahunan di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Luar Bandar.

Difahamkan, syarat untuk memohon bantuan bina rumah baru di bawah program tersebut adalah seseorang haruslah warganegara berumur 35 tahun ke atas Dan merupakan pemastautin atau berdaftar sebagai pengundi di negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD