Idea, kepakaran belia dalam memperelok dasar Kerajaan dialu-alukan : Exco

SOON Lip Chee (dua dari kanan) bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah sekali) melepaskan empat ekor burung merpati simbolik kepada perasmian Penang Youth Festival 2019 dekat Tapak Pesta Sungai Nibong, semalam.

BATU UBAN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, golongan belia dialu-alukan menyumbang idea serta kepakaran kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam memperbaiki polisi pembangunan fizakal dan modan insan di negeri ini.

Beliau turut menyeru golongan belia supaya mengambil bahagian untuk mengetahui segala polisi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri serta Kementerian Belia dan Sukan terutama yang membabitkan kepentingan mereka.

“Para belia perlu memahami misi dan visi kerajaan, agenda negeri dan negara serta pendekatan-pendekatan strategik dalam memastikan belia dapat melihat ruang dan peluang sambil melibatkan diri berdasarkan potensi dan kepakaran masing-masing.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita sentiasa mengambil kira keperluan belia dalam melaksanakan pembangunan.

“Justeru, saya ingin menyeru belia Pulau Pinang untuk meningkatkan pengetahuan dan berfikir di luar kotak, agar terus dapat bersama membangunkan negeri kita,” ujar Lip Chee ketika berucap pada Penang Youth Festival 2019 yang berlangsung dekat Tapak Pesta Sungai Nibong pada 21 April 2019.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merasmikan Penang Youth Festival 2019, festival yang buat julung-julung kali dianjurkan di negeri ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Muda Pulau Pinang, Aizat Khalid.

Dalam perkembangan berkaitan, Lip Chee memberitahu agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah membuat perancangan untuk membangunkan belia-belia dengan memberi tumpuan kepada empat fokus.

“Empat fokus tersebut adalah pembangunan pendidikan dan kerjaya, memperkasakan penyertaan belia, pengurusan dan menggilap bakat dalam kebudayaan dan kesenian.

“Untuk itu, PYDC akan menyediakan sesi-sesi dialog, soal selidik, forum, lawatan dan program sukan untuk mencapai fokus tersebut,” jelasnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Beliau memberitahu pihaknya turut akan memberi tumpuan pada agenda memperkasa perpaduan di kalangan persatuan belia yang pelbagai kaum di negeri ini.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika berucap menekankan tentang nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam jiwa belia dalam menjamin kejayaan dalam bidang dicebutri.

“Jika kita kaya secara intelektual sahaja tidak cukup, itu antara prinsip yang saya banyak belajar sepanjang bekerja dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

“Selain itu, ketepatan masa amat penting dalam mendisiplinkan diri kita,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Johor.

Dalam festival itu, terdapat pelbagai pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, gerai jualan, perkhidmatan serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD