IKEA, projek pemangkin bagi menarik lebih banyak pelaburan di Batu Kawan – Kon Yeow

Admin

BUKIT TAMBUN – Gedung membeli-belah barangan kelengkapan rumah terbesar di wilayah utara, IKEA Batu Kawan dibuka secara rasminya kepada pengunjung hari ini.

Majlis perasmian pembukaan gedung berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, sebentar tadi.

Orang ramai sedang menunggu untuk masuk ke IKEA.

Kon Yeow menyifatkan pembangunan IKEA dengan nilai pelaburan berjumlah RM650 juta sebagai projek pemangkin yang mampu menarik lebih banyak pelaburan lain ke kawasan Batu Kawan.

“Hari ini saya mahu mengucapkan tahniah kepada pihak IKEA kerana membuka stor pertama di wilayah utara Semenanjung Malaysia di Batu Kawan.

“Sejak tanah-tanah di sini diambil alih pada tahun 1990-an, selain daripada stadium dan dua fasa perumahan, dalam tempoh ini masih gagal menarik pelabur masuk ke sini.

“Namun, selepas nama-nama besar seperti IKEA bersama-sama dengan Aspen (Group) melakukan pelaburan melalui pembelian lebih 200 ekar tanah milik PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) untuk tujuan pembangunan bercampur, kita boleh sifatkan ia sebagai projek pemangkin yang dapat membawa projek-projek lain masuk ke Batu Kawan.

Pelbagai barangan kelengkapan rumah boleh didapati di IKEA Batu Kawan.

“Kawasan ini dijangka akan menjadi bandar pesat apabila fasa-fasa seterusnya berjaya dibangunkan dalam jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang oleh pihak Aspen (Group),” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato Sr. Rozali Mohamud; Pengurus Besar IKEA Bahagian Asia Tenggara, Christian Roejkjaer; Duta Sweden di Malaysia, Mr. Dag Juhlin-Dannfelt serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa PDC juga sedang berusaha memajukan tanah milik mereka di Batu Kawan melalui projek pembinaan rumah mampu milik untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Kon Yeow meninjau keadaan dan produk yang tersedia selepas merasmikan pembukaan IKEA.

“Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada Aspen (Group), IKEA dan PDC kerana memberi fokus kepada projek ini dan sekaligus menggerakkan pembangunan di kawasan ini,” ujarnya.

Berucap sebelum itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memuji langkah diambil pihak IKEA dengan mementingkan aspek kelestarian dalam pembinaan gedung berkenaan.

“Pembinaan bangunan ini yang dilengkapi dengan panel solar, sistem penangkap air hujan dan peralatan cekap tenaga akan membantu pihak IKEA dalam menguruskan penggunaan tenaga dan air selain dapat mengurangkan pembuangan sisa.

“IKEA membuktikan bahawa pembangunan mampan juga boleh menyumbang secara positif kepada perniagaan yang menguntungkan,” jelasnya.

Selain menawarkan akses mudah kepada 8,000 produk kelengkapan rumah gaya Sweden dengan reka bentuk menarik, berfungsi dan mampu milik, IKEA turut menyediakan restoran yang mampu menampung seramai 756 pelanggan dengan tawaran beraneka jenis makanan lazat.

IKEA Batu Kawan merupakan cawangan pertama di wilayah utara tanah air dan beroperasi di alamat 752, Persiaran Cassia Selatan 8, Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING