Ikhwan bangga bina arca pasir ‘Tahun Ayam’ buat KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Seorang anak Melayu Pulau Pinang melahirkan rasa bangga kerana hasratnya membina arca pasir berbentuk ayam sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017 kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng tercapai.

‘Ikhwan Saloot’ atau nama sebenarnya Mohamad Ikhwan Ibrahim, 27, memberitahu bahawa arca pasir tersebut dibuat dengan rela hati serta merupakan hasil tangan terbaiknya setakat ini.

“Sebenarnya saya nak beri ini (arca pasir) kepada Ketua Menteri kita, iaitu sesuatu yang istimewa sempena Tahun Ayam ini.

“Inilah hasil tangan yang besar yang saya boleh, jika nak buat besar lagi, saya memerlukan pasukan.

“Sasaran saya, untuk menyertai Festival George Town (GTF) pada tahun ini,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Guan Eng di Lobi Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28 Komtar di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Ikhwan yang merupakan pelajar sarjana bidang landskap di Universiti Sains Malaysia (USM), beliau belajar membina acra secara sendiri melalui internet sejak tahun 2012, dan kini hasil tangannya mula komersial di Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan negeri ini juga.

Guan Eng pada kesempatan sama memuji keikhlasan Mohamad Ikhwan kerana menghasilkan arca pasir yang begitu cantik atas semangat Malaysia yang hakiki.

“Ini menunjukkan bahawa perayaan Tahun Baru Cina dikongsi bersama, dan menunjukkan keharmonian dan muhibah sebenar di negeri Pulau Pinang sehingga seorang yang bukan (berbangsa) Cina rela datang untuk meraikan Tahun Baru Cina dengan kawan-kawan Cina dengan membuat sebuah arca ayam, hadiah kepada saya sebagai Ketua Menteri,” ujarnya.

Pada majlis itu, Guan Eng turut menyerahkan ang pau kepada Mohamad Ikhwan, sebagai tanda tulus atas keikhlasan hati anak muda berkaitan menghasilkan arca pasir istimewa itu.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);