Impak KXP, mesyuarat susulan tiga pihak diharap berlangsung sebelum Julai ini – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – “Kita (Kerajaan Negeri) harap mesyuarat dapat diadakan sebelum Julai (2019),” merupakan reaksi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berhubung mesyuarat lanjut di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri Kedah berhubung impak cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP).

Menurut Kon Yeow, sejurus sidang medianya kelmarin, pejabat (Pejabat Ketua Menteri) beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Kementerian Pengangkutan memohon agar satu perbincangan dan mesyuarat dapat diaturkan segera di antara tiga pihak berkaitan.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap perbincangan dan mesyuarat ini dapat diaturkan segera.

“Tarikh perbincangan terpulang kepada pihak Kementerian (Pengangkutan)… Kerajaan Negeri perlu sesuaikan jadual mengikut tarikh yang diberikan,” ujarnya pada sidang media selepas pengumuman Perayaan Warisan George Town 2019 di sini sebentar tadi.

Terdahulu, perkara sama pernah dibangkitkan Kon Yeow dan turut diminitkan dalam Mesyuarat Perdana Menteri bersama-sama Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berlangsung pada 26 Februari lalu di Putrajaya.

Hasil daripada keputusan yang dicapai, Kementerian Pengangkutan diarah untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Kedah berhubung cadangan tersebut.

Justeru, Kon Yeow selaku Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi sekali lagi mengulangi harapan Kerajaan Negeri agar perbincangan dan mesyuarat tersebut dapat dilakukan sebelum Mesyuarat Perdana Menteri bersama-sama Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dijadualkan berlangsung Julai ini.

“Selalunya jika ada sebarang maklum balas, ia perlu diadakan sebelum mesyuarat akan datang,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI