Impak pandemik COVID-19 kepada alam sekitar

Admin

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 bukan sahaja membawa kepada kehidupan normal baharu kepada masyarakat dunia, tetapi turut memberikan ‘nafas baharu’ kepada alam sekitar dan iklim dunia ketika ini.

Tempoh ‘lockdown’ yang berterusan di lebih 20 negara sebenarnya merupakan tempoh ‘berehat’ dan natural healing kepada bumi yang sudah berusia berbilion tahun.

Tahukah anda, sekatan perjalanan dan operasi sektor perindustrian yang dilaksanakan di bawah langkah lockdown dalam membendung wabak COVID-19 berjaya mengurangkan pencemaran udara di seluruh dunia pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global, Universiti Sains Malaysia (USM), DR. MOHD. SAYUTI HASSAN berkata bahawa impak positif tersebut tidak terkecuali di Malaysia apabila sungai-sungai tidak lagi dicemari dengan toksik bahan kimia ekoran semua operasi sektor perindustrian yang diminimumkan.

“Malah, indeks kualiti sungai bertambah baik hingga mencapai 90 peratus, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut melaporkan bahawa peningkatan yang signifikan dalam WQI (Indeks Kualiti Air) sungai di kawasan hulu atau lembangan sungai.

“Hasil daripada PKP yang dikuatkuasakan di negara ini, tiada lagi kenderaan bertali arus susulan langkah sekatan perjalanan…udara bertambah bersih akibat kekurangan pergerakan kenderaan dan industri, perkara ini turut disahkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA).

“Melalui satu laporan yang dikeluarkan, MEWA mengesahkan bahawa berlaku peningkatan kualiti udara sebanyak 14 peratus dengan kualiti udara dikategorikan sebagai ‘baik’ berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” jelas beliau ketika ditemubual secara atas talian oleh wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF di sini baru-baru ini.

Mohd. Sayuti yang kini telah 25 tahun berkhidmat turut memperkukuhkan fakta tersebut dengan beberapa laporan yang dikeluarkan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) menyatakan bahawa pencemaran nitrogen dioksida yang dilepaskan oleh kenderaan, loji janakuasa dan industri telah menurun sebanyak 30 peratus di Timur Laut Amerika Syarikat.

“Manakala, penyelidik dari New York menyatakan bahawa karbon monoksida yang sumber utamanya terhasil daripada pelepasan asap kereta telah menunjukkan trend penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu (2019).

“Ini memberikan kesan yang baik serta secara tidak langsung terhadap kadar pencemaran udara serta pelepasan gas rumah kaca ke sistem iklim global.

“Asap kenderaan dan aktiviti perindustrian yang merupakan penyumbang karbon dioksida (CO2) kedua tertinggi di Malaysia iaitu pada kadar 23 peratus dapat dikawal ke tahap paling minimum.

“Buktinya ialah rekod bacaan IPU di kebanyakan kawasan yang secara purata di bawah tahap sederhana iaitu kurang daripada 60, manakala kawasan seperti Kuantan, Pahang; Tanjung Malim, Perak; Paka,Terengganu; Alor Setar, Kedah; Kangar, Perlis dan beberapa kawasan di Sarawak mencatatkan IPU di bawah 50 iaitu di tahap baik,” ujarnya lanjut yang juga mempunyai pengalaman selama empat tahun dalam sektor industri sebelum ini.

Terkini, berita kebocoran atau lubang besar lapisan ozon di kawasan Artik yang telah kembali tertutup memberi harapan baharu kepada alam semulajadi.

Lubang atau kebocoran ini dikatakan berpunca daripada keadaan atmosfera yang luar biasa, malah maklumat itu turut disahkan oleh Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernius (C3S) dan Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernius (CAMS) Pusat Ramalan Cuaca Eropah (ECMWF).

Mengulas lanjut, Mohd. Sayuti menyatakan bahawa fenomena berkaitan mempunyai kaitan secara langsung dengan penurunan aktiviti manusia.

“Pengurangan CO2 yang dibebaskan ke udara secara langsung akan memberi kesan kepada Green House Gas.

“Ia ada kaitan secara langsung dengan kurangnya pergerakan kenderaan, aktiviti industri yang diminimumkan dan juga semua jenis pengangkutan barangan juga berada pada tahap sangat minimum.

“Semua aktiviti manusia terhadap udara, air dan tanah diberhentikan serta-merta, ia juga secara tidak langsung memberi kesan kepada lapisan ozon untuk bercantum semula kerana semua aktiviti yang dilakukan manusia sebelum ini kebanyakannya menyumbang kepada penipisan lapisan ozon sehingga memberi ancaman terhadap kehidupan di muka bumi ini.

“Justeru, PKP dan lockdown di seluruh dunia sedikit-sebanyak memberi manfaat kepada manusia kerana secara amnya, fungsi lapisan ozon adalah untuk melindungi manusia daripada sinaran ultraviolet (UV) matahari yang menjadi penyebab kanser kulit,” tambahnya yang gemar mengumpulkan barangan antik sebagai hobi pada waktu sengang.

Kelestarian Alam

Disoal mengenai kelestarian alam sekitar, Mohd. Sayuti memaklumkan bahawa ia terbahagi kepada tiga komponen iaitu persekitaran, sosial dan ekonomi.

Kata beliau, ketiga-tiga komponen tersebut mempunyai pertalian langsung dengan kehidupan manusia.

“Imbangan ketiga-tiga komponen ini adalah amat penting tanpa melebihi salah satu daripadanya untuk memastikan dunia ini lebih lestari.

“Contohnya, jika manusia hanya menumpukan kepada ekonomi semata-mata tanpa mengambil kira persekitaran dan sosial, maka sudah pastilah ia akan mengakibatkan berlakunya perubahan iklim… dan jika ini berlaku kehidupan manusia akan terancam.

“Justeru, pembangunan yang dilakukan perlu memenuhi kehendak generasi masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang seperti mana definisi oleh Brundtland’s Commission Report (1987) bahawa:

‘Sustainable development is the development that meets the social, economic and environmental needs of the present without compromising the ability of future generations to meet their own needs’

“Pemahaman generasi kini terhadap kelestarian hanya merujuk kepada tumbuh-tumbuhan sahaja, sedangkan skop kelestarian itu sendiri menyeluruh,” ulasnya sebelum mengakhiri sesi temubual diatur.