Industri pelancongan tidak terjejas – KM

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri percaya bahawa insiden MH370 yang majoritinya membabitkan warganegara China tidak akan menjejaskan industri pelancongan negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan demikian kerana Pulau Pinang tidak menerima jumlah pelancong China yang ramai berbanding (pelancong) dari negara-negara lain.

Walaupun begitu situasinya, beliau berharap pasaran kemasukan pelancong China ke negeri ini akan terus berkembang.

“Saya tidak rasa Pulau Pinang akan menerima impak besar, sekiranya terdapat kesan negatif (penurunan kadar pelancong China), saya berharap ia hanya dalam tempoh jangka masa pendek.

“Ini adalah kerana Pulau Pinang merupakan lokasi pelancongan yang menarik,’’ katanya pada majlis sidang akhbar selepas merasmikan penerbangan Dragonair dari Pulau Pinang ke Hong Kong di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan kejadian yang menimpa MH370 pada 8 Mac lalu kepada industri pelancongan tempatan apabila majoriti penumpang pesawat berkenaan adalah warganegara China.

Kegagalan menemui pesawat tersebut dipercayai telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganegara China yang mendakwa bahawa Kerajaan Malaysia ‘menyimpan’ maklumat dalam usaha menjejaki kapal terbang MH370.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Dragonair, Patrick Yeung. Dragonair merupakan anak syarikat syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menyediakan 10 penerbangan secara terus dari Pulau Pinang ke Hong Kong setiap hari.

Bagi maklumat lanjut, layari laman sesawang ” www.dragonair. com.my .