Industri perhotelan ‘diuji’ lagi

GEORGE TOWN – Industri pelancongan dan perhotelan di Pulau Pinang sekali lagi diuji dengan peningkatan kes positif akibat penularan varian Omicron yang menjadi varian domain jangkitan kini.

 

Pengurus Besar The Wembley – A St. Giles Hotel Penang dan Cititel Express Penang, TONY GOH ketika dihubungi berkata kedua-dua hotel tersebut turut terkesan dan mengalami penurunan tempahan akibat penularan virus Omicron.

 

TONY Goh.

Kami mempunyai lebih 400 bilik dan rekod terbaik kami adalah semasa sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini dengan kadar penginapan sebanyak 37 peratus atau 155 bilik.

 

“Tetapi selepas Tahun Baru Cina, kadar penginapan turun sebanyak 20 peratus apabila kami terpaksa berdepan dengan pembatalan tempahan bilik dan juga penggunaan fasiliti untuk acara,” katanya ketika dihubungi melalui panggilan telefon pada 22 Februari 2022.

 

 

Mengulas lanjut mengenai situasi semasa, beliau berpandangan bahawa promosi atau penawaran pakej ketika ini tidak akan membawa perubahan.

 

“Situasi pasaran semasa juga tidak menyumbang kepada pertambahan kadar penginapan.

 

“Apatah lagi, kos pengoperasian juga amat tinggi, jadi secara praktikal kami akan terus memastikan keselamatan kakitangan dan pelawat kami, tanpa kompromi.

 

“Segalanya di luar kawalan dan kami tidak mahu menjadi penyumbang kluster baharu, maka kami teruskan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat. Lagipun setelah lebih dua tahun (penularan virus COVID-19), ia sudah menjadi amalan harian di hotel-hotel kami.

 

Berhubung pembukaan semula sempadan negara, Tony Goh berpandangan bahawa ia berkemungkinan memberi nilai tambah terhadap industri perhotelan negara.

 

“Seluruh dunia ‘sengsara’, walaupun buka sempadan saya rasa tak ramai yang akan pergi melancong kerana kurang selesa dengan pelbagai pematuhan.

 

“Tambahan pula, mereka perlu mengeluarkan kos tambahan untuk melakukan ujian kendiri dan sebagainya termasuklah harga pakej yang mereka tempah,” responsnya.

 

Sementara itu, Pengurus Besar M Summit 191 Executive Hotel Suites, MOH WEI KEN berkongsi bahawa sejak peningkatan kes positif muktahir ini, terdapat pembatalan tempahan daripada pelanggan.

 

MOH Wei Ken.

 

Selepas sambutan Tahun Baru Cina, terdapat lima peratus tempahan yang dibatalkan. Walhal, sepanjang sambutan Tahun Baru Cina selama tujuh hari, bilik-bilik kami ditempah 100 peratus.

 

 

 

“Walaupun terdapat penurunan (kadar tempahan), kami memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa kami tidak akan berkompromi apabila melibatkan soal kesihatan dan keselamatan pelanggan kami serta kakitangan di sini.

 

“Selain pematuhan SOP (prosedur operasi standard), kami juga mengambil langkah tambahan dengan kerap melakukan sanitasi di ruangan umum serta bilik hotel.

 

“Begitu juga perkhidmatan parkir automatik kami yang mana pihak kami telah mengurangkan interaksi dan pendedahan risiko. Pelanggan hanya perlu memandu ke platform yang ditetapkan dan kenderaan mereka akan diparkirkan secara automatik,” jelasnya.

 

Bercakap mengenai tawaran semasa cuti persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi, Wei Ken berkata pihaknya kini sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan The TOP Penang untuk menawarkan pakej ‘Stay and Play’.

 

“Pakej ini sesuai untuk seisi keluarga kerana ia merangkumi penginapan di hotel kami, makan dan minum serta pas taman tema untuk empat orang.

 

“Untuk promosi terkini boleh layari laman Facebook kami,” katanya.

 

Turut berkongsi mengenai keadaan semasa ialah Pengurus Besar Lexis Suites Penang, BEN HO. Ketika dihubungi beliau memaklumkan bahawa situasi semasa sedikit-sebanyak telah memberi impak terhadap kadar tempahan di hotel berkenaan.

 

BEN Ho.

 

Jika dibandingkan kadar tempahan semasa Tahun Baru Cina baru-baru ini adalah memberangsangkan iaitu sekitar 70 peratus.

 

“Walau bagaimanapun, kini tempahan bilik semasa adalah antara 30 hingga 40 peratus bagi hari biasa dan 20 peratus ketika hujung minggu,” katanya.

Selain tempahan bilik, Ben Ho berkata bahawa tempahan bagi penggunaan fasiliti seperti ruangan bankuet, konferensi dan dewan utama juga terjejas apabila terdapat pelanggan yang membatalkan tempahan atau menunda tarikh pada saat akhir.

 

“Saya percaya bahawa impak endemik ini akan menyebabkan semakin ramai memilih untuk tidak melancong atau bercuti dan hanya kekal di rumah walaupun cuti persekolahan akan bermula tidak lama lagi,” jelasnya yang mengalu-alukan orang ramai membuat tempahan melalui laman sesawang rasmi hotel tersebut untuk menikmati potongan harga yang menarik.

 

Bagi Pengurus Besar Hotel Neo+, GULAB MAHATAM RAI, beliau memberitahu bahawa pihaknya menerima tempahan yang agak memberangsangkan iaitu sekitar 60 peratus.

 

GULAB Mahatam Rai.

Pada minggu pertama Tahun Baru Cina kami menerima tempahan sehingga 90 peratus daripada keseluruhan jumlah bilik iaitu 196.

 

“Namun kini, kami menerima sekitar 15 peratus tempahan bagi hari biasa dan 41 peratus bagi tempahan hujung minggu,” katanya yang dalam perancangan mengadakan kolaborasi dengan agen pelancongan tempatan bagi penawaran pakej menarik pada harga istimewa.

 

Tinjauan Buletin Mutiara melalui beberapa laman tempahan secara dalam talian mendapati bahawa kadar tempahan bermula hujung minggu bulan ini sehingga awal minggu bulan Mac telah mencecah antara 55 hingga 76 peratus melibatkan lebih 700 premis termasuk hotel, suit, rumah tumpangan berdaftar, pangsapuri perkhidmatan, chalet dan hostel di negeri ini.