Infrastruktur dipertingkat demi keselesaan warga sekolah

Admin
35003f93 f02a 4bb8 b3af acdce3d96680

GEORGE TOWN – Infrastruktur pendidikan di kawasan Parlimen Tanjong terus diperkasa menerusi kerja-kerja penaiktarafan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung serta Pusat Sumber Permata Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Jalan Hutton di sini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, kemudahan yang lebih selesa itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid dalam melaksanakan program berkaitan dengan lebih kondusif dan berkesan.

“Sebanyak RM65,000 diperuntukkan bagi projek menaik taraf Dewan SK Sri Tanjung, manakala RM32,250 disalurkan untuk kerja-kerja penaiktarafan Pusat Sumber Permata SKPK Jalan Hutton.

“Justeru, diharapkan kemudahan yang lebih selesa ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran, kokurikulum serta program pembangunan sahsiah,” ujarnya ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Guru serta majlis perasmian Dewan SK Sri Tanjung dan Pusat Sumber Permata SKPK Jalan Hutton di sini pada 15 Mei 2026.

4a1c0a25 2feb 4ba4 b9a2 c341ea95867e 6ba6ab20 dbe6 4142 a368 3edc72256f42 c79af482 c4b6 4f5a 8154 6ebfe0872cbb
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Foo Yu Keong; Timbalan Pegawai Pendidikan (Sektor Perancangan), Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Rashida S.K Abdul Kadir serta Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) merangkap Alumni SK Sri Tanjung, Tan Sri (Dr.) Mohd. Yussof Latiff.

Mengulas lanjut, Hui Ying turut menyatakan bahawa peranan guru sebagai tunjang utama pembangunan insan dan kemajuan negara terus diiktiraf menerusi sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini yang membawa tema “Guru Bitara, Nadi Negara”.

“Golongan pendidik bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah turut membentuk sahsiah, nilai serta masa depan generasi muda negara.

“Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, tugas guru menjadi semakin besar apabila mereka perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki jati diri, disiplin dan semangat perpaduan yang kukuh.

“Sesungguhnya, di sebalik setiap kejayaan seorang murid, pasti ada seorang guru yang tidak pernah jemu membimbing, mendidik dan memberi inspirasi,” jelasnya.

Pada masa sama, Hui Ying turut merakamkan penghargaan terhadap ibu bapa yang menyumbangkan dua unit penghawa dingin untuk kegunaan dewan sekolah berkenaan.

“Ini merupakan contoh terbaik semangat kebersamaan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memastikan persekitaran pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

“Justeru, kejayaan sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada usaha guru dan pentadbir semata-mata, tetapi turut memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Hui Ying turut berkesempatan merasmikan logo ulang tahun ke-150 SK Sri Tanjung yang disifatkan sebagai antara sekolah tertua di Pulau Pinang dan dipercayai antara institusi pendidikan terawal di kawasan Parlimen Tanjong.

Menurut beliau, sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1878 itu pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Melayu Chowrasta di Jalan Transfer sebelum berkembang menjadi institusi pendidikan yang terus relevan dan dihormati masyarakat setempat.

Sehubungan itu, Hui Ying berharap ulang tahun ke-150 SK Sri Tanjung dalam tempoh dua tahun lagi akan menjadi pemangkin kepada seluruh warga sekolah untuk terus memperkukuh legasi kecemerlangan yang telah dibina sekian lama.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI