Inisiatif ADUN bangunkan aplikasi digital bantu peniaga kecil peroleh pujian

Admin

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan pasukan Parlimen Permatang Pauh membangunkan aplikasi digital bagi membantu peniaga meneruskan perniagaan sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi yang dinamakan DNAPenang & Bazar Pauh itu diyakini mampu membantu peniaga di sekitar Parlimen Permatang Pauh dan Penanti khasnya untuk terlibat dalam perniagaan digital yang mana ia dapat digunakan secara lebih meluas.

Chow Kon Yeow melepaskan pasukan konvoi motosikal untuk mengagihkan sumbangan kepada penduduk kampung yang memerlukan di sekitar Penanti.

“Syabas dan tahniah kepada Dr. Norlela (Ariffin) serta Nurul Izzah Anwar dan pasukan Permatang Pauh atas inisiatif serta pelancaran aplikasi khusus bagi membantu penduduk kampung di bulan Ramadan ini.

“Justeru, adalah diharapkan agar dengan adanya aplikasi ini, ia sedikit-sebanyak dapat menangani kesulitan para peniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Apa yang dimulakan ini masih boleh diteruskan untuk manfaat masyarakat setempat walaupun selepas tamat tempoh PKP, dan saya percaya Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan sekiranya mendapati inisiatif ini boleh dilaksanakan pada masa akan datang,” ucapnya pada Program Ziarah Kasih dekat Taman Guar Perahu di sini sebentar tadi.

Meluangkan masa menziarahi pesakit strok dekat Taman Guar Perahu.

Selain Norlela, turut hadir pada program tersebut adalah ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli Majlis bagi MBSP, Fahmi Zainol; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat serta barisan kepimpinan Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Dalam pada itu, Norlela yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan menjelaskan bahawa inisiatif tersebut adalah projek perintis bagi menggalakkan lebih ramai anak tempatan membangunkan aplikasi digital untuk membantu usahawan luar bandar.

“Di kawasan Penanti, perkhidmatan e-hailing seperti GrabFood adalah sangat terhad. Justeru, kita amat bergantung kepada khidmat golongan muda untuk menjalankan perkhidmatan penghantaran,” ujarnya.

Sejurus melepaskan konvoi motosikal bagi mengagihkan sumbangan kepada penduduk kampung yang memerlukan, Kon Yeow kemudian turut meluangkan masa menziarahi seorang pesakit strok, Hassan Nordin Hashim dekat Lorong Guar Perahu 31, di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD