Inisiatif baharu PPSB bantu rancakkan pertumbuhan perdagangan di Pelabuhan Pulau Pinang

Admin

BAGAN DALAM – Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) memperuntukkan sejumlah RM350 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu merancakkan lagi pertumbuhan perdagangan di Pelabuhan Pulau Pinang pada masa hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, PPSB sejak dua tahun lalu telah membelanjakan RM300 juta yang menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan yang dibelanjakan sehingga kini adalah sebanyak RM650 juta dalam usaha menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan berstatus antarabangsa.

Jelasnya, antara inisiatif dibincangkan adalah untuk mendirikan satu Zon Perdagangan Bebas yang telah tertangguh sekian lama di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Selepas pengambilalihan kuasa oleh kerajaan baru (Pakatan Harapan) maka perkara ini sedang diusahakan dan kita sedang menunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) untuk memberikan laporan akhir kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ia dibentangkan kepada Kementerian Kewangan (Malaysia).

“Usaha ini akan membantu membangunkan pertumbuhan perdagangan di pelabuhan Pulau Pinang,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama pemegang kepentingan dalam sektor logistik pelabuhan Pulau Pinang di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dekat sini, semalam.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam dan Pengurus Besarnya, Monaliza Suhaimi; Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Sasedharan Vasudevan serta Pengarah JKDM, Datuk Saidi Ismail.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan bahawa aspek lain yang perlu juga dilihat adalah membangunkan pertumbuhan perdagangan di pelabuhan tersebut melalui perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan menggalakkan kuantiti perdagangan dari Selatan Thailand ke pelabuhan tersebut.

“Berita baik pada tahun lepas, dari segi penguasaan pasaran telah meningkat yang mana ramai pedagang atau pengeluar daripada Selatan Thailand menghantar barangan mereka untuk dieksport menerusi pelabuhan Pulau Pinang.

‘’Jika sebelum ini hanya sekitar 60 peratus (2018), sekarang buat kali pertama ia meningkat kepada 72 peratus tahun lalu (2019) iaitu peratusan paling tinggi dalam sejarah,” ulasnya lagi.

Justeru, Guan Eng berkata, pihak pelabuhan Pulau Pinang harus memastikan perkhidmatan yang terbaik dari segi kapasiti, kecekapan dan keberkesanan agar dapat menampung segala permintaan serta dapat menarik lebih banyak peniaga dari luar negara.

“Ada beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dan sebuah jawatankuasa antara agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew (Gim Eam) telah ditubuhkan.

“Diharapkan dengan adanya jawatankuasa perundingan ini dapat meningkatkan lagi perkhidmatan pelabuhan Pulau Pinang,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF